Tiga pemandu e-hailing ditahan bersama dadah

Noorzainy (kiri) menunjukkan dadah yang dibungkus semula ke dalam bungkusan jus limau sebelum dijual kepada pelanggan.
Noorzainy (kiri) menunjukkan dadah yang dibungkus semula ke dalam bungkusan jus limau sebelum dijual kepada pelanggan.
A
A
A

KEPALA BATAS - Polis menahan tiga pemandu e-hailing dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM40,729 selepas menyerbu sebuah pangsapuri di Jalan Harbour, Butterworth pada 6 November lalu.

Kesemua dadah tersebut dibungkus semula ke dalam bungkusan jus limau sebelum dijual kepada pelanggan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, selain tiga lelaki itu, seorang wanita yang bekerja di restoran sebuah pub turut ditahan.

Menurutnya, hasil serbuan itu, polis merampas pil ekstasi, ketamin dan jus minuman Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) yang mengandungi dadah.

"Dalam serbuan itu, kita menahan tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 26 hingga 43 tahun. Kita percaya, wanita tersebut turut menjalankan kegiatan mengedar dadah di tempat kerjanya yang terletak di Butterworth.

"Sindiket ini dipercayai tidak melibatkan warga asing dan ia didalangi warga tempatan. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, di sini hari ini.

Katanya, hasil ujian saringan urin dilakukan terhadap keempat suspek namun hanya ketiga-tiga lelaki positif dadah.

Artikel Berkaitan:

Polis merampas beberapa keping kad ATM dan senjata daripada lima ahli 'ah long'.
Polis merampas beberapa keping kad ATM dan senjata daripada lima ahli 'ah long'.

"Polis turut merampas dua buah kereta jenis Honda City dan Toyota Prius dengan anggaran harga semasa bernilai RM80,400. Dadah yang dirampas mampu dibekalkan kepada 876 penagih.

"Kesemua suspek direman sehingga 10 November dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam kes berlainan, polis menahan lima lelaki warga tempatan berhubung kegiatan peminjam wang tanpa lesen (ah long) yang berpangkalan di Sungai Petani, Kedah pada jam 4.30 petang, Sabtu lalu.

Noorzainy berkata, penahanan itu dibuat sebaik sahaja polis menerima laporan yang dibuat abang mangsa selepas adiknya dibawa lari ahli 'ah long' terbabit.

"Pada Jumaat lalu, abang mangsa yang beralamat di Tasek Gelugor di sini membuat laporan polis selepas adiknya dibawa lari oleh ahli 'ah long' tersebut kerana masalah dalam meminjam wang.

"Susulan daripada itu, polis menahan lima lelaki dan berjaya menemui semula mangsa di sebuah rumah di Sungai Petani. Kesemua suspek mengaku mengurung dan memukul mangsa kerana melanggar syarat sewa kad mesin juruwang automatik (ATM)," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan polis mendapati mangsa membuat kad ATM baharu dan mengeluarkan sejumlah wang dari akaun bank yang diberikan oleh salah seorang suspek tanpa kebenaran.

"Mangsa kemudian dipanggil kononnya untuk berbincang dengan salah seorang suspek di sebuah rumah tersebut namun dikurung; dipukul, diugut dan diminta untuk melunaskan hutang sebanyak RM3,000.

"Polis turut merampas beberapa keping kad ATM, senjata berbahaya seperti parang; batang besi, pedang buatan sendiri serta beberapa buah telefon bimbit," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.