Tidak semua individu bawah umur ditangkap polis ditahan bawah POCA

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Tidak semua individu bawah umur yang ditangkap polis akan dikenakan Perintah Tahanan atau Perintah Pengawasan Polis di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebaliknya setiap individu yang ditangkap akan melalui proses siasatan yang mendalam dan jika terdapat bukti keterlibatan dalam aktiviti yang boleh diambil tindakan di bawah POCA, barulah permohonan reman lanjutan dibuat di mahkamah sebelum proses inkuiri oleh Pegawai Siasatan KDN dimulakan.

Beliau berkata berdasarkan inkuari itu, Pegawai Siasatan KDN akan mengemukakan laporan kepada Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ), yang kemudiannya akan membuat penilaian berlandaskan laporan pegawai tersebut dan kertas siasatan polis sebelum membuat keputusan sama ada dikenakan Perintah Pengawasan Polis, Perintah Tahanan atau dibebaskan.

Berdasarkan statistik daripada LPJ, sehingga 30 Januari 2019 hanya seorang individu bawah umur yang masih lagi menjalani tahanan selama dua tahun di Pusat Pemulihan Khas Kluang, Johor berikutan terlibat dengan kegiatan jenayah kekerasan manakala tiada individu bawah umur yang sedang menjalani Perintah Pengawasan Polis di luar penjara, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhyiddin berkata kementerian itu amat prihatin dan peka terhadap kebajikan semua tahanan termasuk tahanan bawah umur di mana sekiranya ada, tahanan bawah umur terbabit akan ditempatkan di tempat tahanan yang berasingan daripada tahanan dewasa iaitu di Pusat Pemulihan Khas Kluang.

Beliau berkata sepanjang tempoh tahanan, orang tahanan akan menjalani program pembangunan modal insan dan program pemulihan yang meliputi modul keagamaan, psikologi, pembangunan sahsiah, kenegaraan dan kemahiran bagi mempersiapkan mereka apabila dibebaskan kelak.

Selain itu, tahanan juga diberi akses pendidikan di Sekolah Integriti yang diwujudkan khas di dalam institusi penjara melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, katanya.

Muhyiddin berkata orang tahanan boleh ditamatkan Perintah Tahanan atau ditukarkan kepada Perintah Pengawasan Polis atau dibebaskan sekiranya mencapai tahap pemulihan yang telah ditetapkan berdasarkan penilaian secara berkala yang dilakukan kementerian ke atas setiap tahanan.

Artikel Berkaitan:

"Bagi individu yang menjalani Perintah Pengawasan Polis, kementerian turut menjalankan program Temu Seru Orang Sekatan atau Pengawasan Polis (Outreach) yang bertujuan untuk menerangkan hak-hak Orang Sekatan, mendedahkan peluang pekerjaan yang diberikan oleh Jabatan Tenaga Kerja, mendedahkan bantuan kebajikan yang layak dipohon melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, sesi kaunseling, pemeriksaan kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri dan sesi perkongsian pengalaman oleh Orang Sekatan yang telah berjaya dalam kehidupan mereka.

"Secara asasnya, setiap Orang Sekatan akan mempunyai peluang untuk menghadiri program berkenaan sekali sebelum tamat Perintah yang dikenakan ke atas mereka," katanya.

Muhyiddin berkata sepertimana tahanan lain di bawah POCA, individu bawah umur juga mempunyai hak dari segi undang-undang untuk membuat permohonan semakan kehakiman atau habeas corpus di Mahkamah bagi menilai semula kepatuhan prosedur penahanan, malah individu berkenaan juga boleh mengemukakan representasi kepada Lembaga Penasihat di Jabatan Perdana Menteri berdasarkan Perkara 151 Perlembagaan Persekutuan bagi menilai semula merit penahanan mereka.

Berhubung kenyataan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang menggesa kerajaan membebaskan 142 kanak-kanak dan juvana yang ditahan di bawah POCA, Muhyiddin berkata jumlah tersebut merupakan statistik tangkapan oleh pihak polis dari tahun 2015 hingga 2017 ke atas individu bawah umur kerana dipercayai terlibat dengan pelbagai kegiatan jenayah.

Beliau berkata jumlah 142 orang itu adalah merangkumi 25 orang yang direman bagi siasatan lanjut, 18 orang yang telah dibebaskan, 87 orang yang telah dikenakan sekatan manakala baki seramai 12 orang telah ditahan di Pusat Pemulihan Khas.

Statistik ini dinyatakan semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Klang Charles Antony Santiago di Dewan Rakyat pada 31 Oktober 2017, katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Penahanan di bawah POCA berdasarkan kesalahan