Apa jasa Jasa?

Jasa bakal dihidupkan kembali selepas dua tahun dibubarkan.
Jasa bakal dihidupkan kembali selepas dua tahun dibubarkan.
A
A
A

SELEPAS kerajaan memperuntukkan sebanyak RM85.5 juta yang dikhususkan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam Belanjawan 2021, pengumuman itu mendapat pelbagai reaksi daripada blok pembangkang dan tidak terkecuali kerajaan.

Terdapat dua peruntukan untuk unit itu iaitu peruntukan pertama sebanyak RM4 juta di bawah belanjawan komunikasi strategi dan peruntukan kedua sebanyak RM81.5 juta di bawah dasar baharu.

Jumlah tersebut adalah peningkatan mendadak daripada RM30 juta yang diperuntukkan kepada jabatan itu oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini di bawah Belanjawan 2018.

Ironinya, UMNO dan BN yang menubuhkan Jasa sejak tahun 1960 dan kini antara parti dalam Perikatan Nasional (PN) sendiri mempersoalkan relevannya jabatan tersebut mendapat peruntukan besar itu.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak misalnya mempertikaikan jumlah peruntukan yang naik empat kali ganda ketika rakyat dan negara berdepan dengan krisis Covid-19.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Penerangannya, Shahril Sufian Hamdan turut sama menuntut supaya kerajaan memberikan penjelasan kerana jumlah yang diperuntukkan adalah berlebihan.

Bekas panel Pemikir Jasa yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam sendiri mengakui adalah tidak munasabah peruntukan yang begitu besar disalurkan kepada Jasa memandangkan unit itu hanya terdiri daripada 60 kakitangan.

Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam

Artikel Berkaitan:

“Dulu pada tahun 2017, kakitangan JASA ada lebih kurang 1,400 orang. Peruntukan Jasa ketika itu adalah RM22 juta.

“Bagaimanapun sekarang hanya ada 60 orang tetapi mengapa peruntukan sampai RM81 juta. Ia tidak munasabah,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pada Mei 2018, apabila kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) mengambi alih kerajaan Persekutuan, satu pengumuman dibuat iaitu menutup Jasa dan menamatkan pegawai berkhidmat secara kontrak.

Mulai Januari 2019, secara rasminya pejabat Jasa ditutup dan pegawai yang berkhidmat secara tetap dipindah ke jabatan lain, sementara 782 orang pegawai kontrak ditamatkan perkhidmatan.

Bagaimanapun pada bulan April lalu, Jasa yang berusia 58 tahun sebelum dikuburkan pada 2018 oleh PH dikhabarkan akan dihidupkan semula.

Khabar angin itu terjawab selepas kerajaan mengumumkan peruntukan buat unit itu bagi tahun 2021 pada Jumaat lalu.

Peranan

Menelusuri penubuhan Jasa, unit itu berperanan besar pada zaman Tun Abdul Razak Hussein, apabila Jasa menekankan ke arah pembangunan manakala pada zaman Tun Mahathir Mohamad, Jasa menggerakkan misi Wawasan 2020.

Pada zaman Tun Adullah Ahmad Badawi pula, ia menekankan kepada masyarakat madani manakala peranan terakhir Jasa sebelum ditutup adalah menggerakkan agenda 1Malaysia di bawah kepimpinan Najib.

Persoalannya sekarang pada ketika negara berdepan dengan situasi kritikal pandemik Covid-19, di tambah ekonomi rakyat yang tidak menentu, adakah penubuhan kembali Jasa relevan apatah lagi dengan peruntukan mega itu?

“Saya rasa pada zaman sekarang, kalau bukan ketika Covid-19, RM85.5 juta pun, untuk satu agensi kerajaan semata-mata tugasnya untuk menyampaikan maklumat atau propaganda kerajaan, memang tiada asas dan tiada keperluan.

“Apa yang perlu dipropagandakan? Apa tanggungjawab dan jasa Jasa? UMNO sendiri pun persoalkannya. Sekiranya RM85 juta ini digunakan untuk bakul makanan bernilai RM100, sebanyak 850,000 bakul makanan boleh diberikan kepada rakyat yang memerlukan,” kata Ahli Parlimen Batu Kawan daripada DAP, Kasthuriraani Patto.

P Kasthuriraani
P Kasthuriraani

Tidak hanya Kasthuriraani, ahli Parlimen lain terutamanya daripada blok pembangkang turut melontarkan pandangan sama antaranya Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Dokumen Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan diagihkan kepada setiap Ahli Parlimen menyatakan sejumlah RM81.5 juta diperuntukkan mengikut butiran 050100, bagi program perluasan Jasa.

Peruntukan yang terkandung dalam kepala bekalan 47, Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu, sekali gus mengundang persoalan pelbagai pihak terutama dalam kalangan pembangkang memandangkan pandemik Covis-19 memerlukan pengagihan peruntukan secara saksama, mengikut situasi semasa.

Biarpun dipersoalkan dan menerima kecaman daripada rakyat, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin menegaskan bahawa kewujudan semula Jasa dengan peruntukan yang besar memberi sinar baharu buat lebih 1,000 bekas pegawai Jasa yang dinafikan hak selama 22 bulan ketika pemerintahan PH.

Zahidi Zainul Abidin
Zahidi Zainul Abidin

Bukan bermotif politik“Pertama sekali kita memang minta Jasa kembali ditubuhkan kerana desakan daripada bekas-bekas pegawai Jasa yang mana lebih 1,000 orang telah diberhentikan oleh PH.

“Peranan Jasa ini penting. Sebab itu kerajaan dahulu memerlukan Jasa. Jangan pandang dari sudut negatif iaitu propaganda sebagainya tetapi di antara tugas Jasa adalah melapor kepada kerajaan isu-isu rakyat, kemiskinan rakyat, isu mana tempat paling ramai miskin, apa yang perlu dibantu dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau menegaskan bahawa penubuhan semula Jasa tidak langsung bermotifkan politik selain untuk mengukuhkan sahsiah dan pembangunan sosial masyarakat berbilang bangsa.

“Peranan itu mungkin diperluaskan seperti mendidik rakyat tentang multimedia, melahirkan rakyat yang lebih bersopan menguasai internet ini, keselamatan siber dan sebagainya. Peranan ini adalah untuk memanfaatkan rakyat,” katanya.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui kenyataan media semalam menegaskan KKMM diberi tanggungjawab menerajui penubuhan semula Jasa.

Bekas Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik dan Panel Pemikir Jasa, Tun Faisal Ismail Aziz menaruh harapan supaya hak bekas pegawai yang diberhentikan tugas sebelum ini dapat dikembalikan PN.

“Pegawai Jasa dinafikan hak mereka di bawah PH. Terima kasih kerajaan PN yang menghidupkan kembali Jasa. Semoga dapat dikembalikan hak mereka yang dizalimi,” katanya.

Tun Faisal Ismail Aziz
Tun Faisal Ismail Aziz