LRA Sungai Linggi tidak lagi sesuai digunakan, kata Tok Mat

LRA Linggi sudah terlalu lama selain kos operasinya antara paling tinggi dalam negara kerana air terlalu kotor dan terpaksa menggunakan bahan kimia yang tinggi untuk membersihkannya. (Gambar kecil: Mohamad Hasan)
LRA Linggi sudah terlalu lama selain kos operasinya antara paling tinggi dalam negara kerana air terlalu kotor dan terpaksa menggunakan bahan kimia yang tinggi untuk membersihkannya. (Gambar kecil: Mohamad Hasan)
A
A
A

SEREMBAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan agar pihak berkaitan meneruskan rancangan membina Loji Rawatan Air (LRA) baharu di Pengkalan Kempas, Port Dickson bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air yang sering berlaku di kawasan itu.

Beliau berkata, pembinaan itu juga bagi membekalkan air untuk tempoh jangka panjang susulan operasi LRA Sungai Linggi sedia ada di Rantau tidak lagi berupaya menampung jumlah air sekiranya hujan lebat sehingga menyebabkan kejadian banjir.

“LRA Linggi kini tidak lagi sesuai digunakan kerana sudah terlalu lama selain kos operasinya antara yang paling tinggi dalam negara kerana air terlalu kotor dan terpaksa menggunakan bahan kimia yang tinggi untuk membersihkannya,” katanya.

Mohamad berkata demikian ketika mengulas isu gangguan terhadap operasi LRA Linggi akibat hujan lebat pada 4 November lepas yang menyebabkan sebahagian kawasan Seremban dan Port Dickson ketiadaan bekalan air.

Katanya, jika LRA Pengkalan Kempas dibina, ia mampu bertahan sehingga tahun 2045 selain membekalkan lebih 15 juta gelen air sehari kepada penduduk di negeri itu atau sekurang-kurangnya ke kawasan Port Dickson dan Seremban.

Beliau berkata pembinaan loji rawatan berskala besar itu juga mampu mengatasi masalah banjir akibat tebing sungai pecah dan negeri itu juga boleh menjual sumber air kepada Melaka pada harga yang rendah.

Pada 4 November lepas, media melaporkan lebih 45,000 akaun pengguna membabitkan sebahagian kawasan Port Dickson dan Seremban termasuk Golf & Country Club, PD Perdana, Kampung Sega Ulu dan Jalan Kuala Sawah berdepan masalah bekalan air berikutan gangguan terhadap operasi LRA Linggi. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: LRA Sungai Linggi mula beroperasi

Artikel Berkaitan: