LRA Sungai Linggi mula beroperasi

LRA Sungai Linggi di Seremban mula beroperasi hari ini selepas kerja-kerja pembaikan tebing Sungai Linggi berjaya dilaksanakan.
LRA Sungai Linggi di Seremban mula beroperasi hari ini selepas kerja-kerja pembaikan tebing Sungai Linggi berjaya dilaksanakan.
A
A
A

SEREMBAN - Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi beroperasi semula hari ini selepas lima hari dihenti tugas susulan kerja-kerja pembaikan tebing Sungai Linggi yang runtuh.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), Norzita Ismail berkata, kerja-kerja menambak tebing oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berjaya dilaksanakan.

"Hari ini Sains mula menerima aliran air sungai memasuki muka sauk untuk loji menjalankan proses pengepaman air mentah dan seterusnya membekalkan air terawat ke premis pengguna di daerah Seremban terlebih dahulu.

"Ia sehingga loji dapat bekalan air mentah yang mencukupi untuk menjalankan operasi pengepaman secara keseluruhan ke daerah Port Dickson," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, Sains akan memastikan seluruh kawasan gangguan di Port Dickson dan Seremban akan mendapat bekalan air terawat selewat-lewatnya Rabu ini secara berperingkat bergantung kepada kerja-kerja di tapak oleh pihak JPS.

"Pelbagai usaha dilaksanakan oleh Sains untuk memastikan kawasan gangguan dapat dikecilkan dengan memanjangkan bekalan air dari sumber air yang berdekatan seperti Bukit Kunyit, Seremban Barat dan Spring Hill untuk daerah Port Dickson.

"Kita juga mengambil bekalan air dari LRA Sungai Terip untuk daerah Seremban selain dari membeli air dari Selangor untuk kawasan Tanah Merah Site A, Port Dickson. Sains memahami setiap kesulitan pengguna yang menghadapi gangguan bekalan air melebihi tempoh 24 jam," katanya.

Katanya, kerjasama berterusan daripada pihak operator air lain seperti Pengurusan Air Selangor (Air Selangor), Ranhill Syarikat Air Johor (RanhillSAJ), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Pengurusan Air Pahang (Paip), Lembaga Air Perak (LAP) dan Syarikat Air Terengganu (Satu) dengan menghantar lori tangki dan kakitangan mereka amat membantu Sains dalam kerja-kerja pengagihan bekalan air di kawasan terjejas sehingga keadaan pulih.

Artikel Berkaitan:

Norzita berkata, penglibatan bomba juga banyak membantu dalam kerja-kerja pengagihan air di sekitar kawasan terlibat gangguan serta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang banyak membantu melicinkan pergerakan lori tangki Sains sepanjang usaha pengagihan bekalan air dilakukan.

"Sains akan terus memberikan maklumat terkini melalui laman web rasmi www.sainswater.com atau di Facebook Pusat Khidmat Pelanggan Sains serta Apps iSAINS. Para pelanggan yang memerlukan maklumat lanjut dan terkini boleh juga menghubungi Sains di talian bebas tol 1-800-88-6982," katanya.