PKPB: MB rayu rakyat Kedah terus patuhi SOP

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor merayu rakyat negeri ini supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi menangani pandemik koronavirus (Covid-19).

Selain itu, beliau turut mengingatkan rakyat negeri ini supaya mengelakkan diri daripada berada di tempat-tempat berisiko sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan selama empat minggu mulai Isnin ini sehingga 9 Disember depan.

Buat masa ini, katanya, aktiviti ziarah-menziarahi belum sesuai dilakukan, bagaimanapun silaturahim boleh terus dipereratkan menerusi panggilan video atau aplikasi media sosial di pelbagai medium.

"Kerajaan negeri Kedah ambil maklum langkah pelaksanaan PKPB sebagaimana diumumkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

"Malah peningkatan semula kes positif Covid-19 kepada dua digit di negeri ini sejak semalam juga turut membimbangkan kita," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, seperti semua sedia maklum bahawa setiap tindakan yang diambil kerajaan itu terdapat kesan tersendiri sama ada positif atau negatif.

"Kerana itu pematuhan SOP amat penting supaya keadaan akan segera pulih dan ekonomi kita tidak terjejas lebih teruk," katanya.

Artikel Berkaitan: