Rokok seludup bernilai RM152,288 dirampas

Anggota ESSCOM menunjukkan rokok seludup yang berjaya dirampas di Blok 5, Kampung Titingan, Tawau.
Anggota ESSCOM menunjukkan rokok seludup yang berjaya dirampas di Blok 5, Kampung Titingan, Tawau.
A
A
A

TAWAU - Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) merampas 12,200 bungkus rokok seludup bernilai RM152,288 di kawasan Blok 5, Kampung Titingan di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.35 malam itu, terdapat empat lelaki sedang leka memindahkan rokok dari bot ke kawasan lapang bagaimanapun sempat melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, bertindak atas maklumat pihaknya berjaya mengesan melalui radar berhubung pergerakan sebuah bot dari Pulau Sebatik menghala ke Kampung Titingan.

Menurutnya, sepasukan anggota yang terdiri daripada sembilan anggota batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA), sembilan anggota daripada 9 Rejimen Renjer Diraja, lima anggota unit risikan Pasukan Polis Marin (PPM) yang diketuai oleh seorang anggota ESSCOM telah diatur gerak ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.

"Sebaik tiba, anggota terserempak dengan beberapa orang dalam keadaan mencurigakan dan terdapat empat lelaki sedang leka memindahkan beberapa kotak yang disyaki rokok seludup tanpa cukai dari sebuah bot ke kawasan lapang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Anggota ESSCOM menunjukkan rokok seludup yang berjaya dirampas di Blok 5, Kampung Titingan Tawau.
Anggota ESSCOM menunjukkan rokok seludup yang berjaya dirampas di Blok 5, Kampung Titingan Tawau.

Ahmad Fuad berkata, pemeriksaan lanjut terhadap barangan yang ditinggalkan suspek menemui 19 kotak besar yang dipercayai mengandungi rokok seludup yang tidak dibayar cukai kastam.

"Semua hasil rampasan rokok seludup itu adalah bernilai RM152,288 dan barang rampasan telah dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, kejayaan ini adalah hasil persefahaman dan kerjasama padu yang ditunjukkan oleh semua agensi keselamatan yang bertugas di OP Cegah Pati (OCP) Laut dan Daratan yang diselaraskan oleh ESSCOM.

"Ini adalah kejayaan terbesar yang pernah dicatatkan oleh OCP Laut dan Daratan ESSCOM sejak mula diaktifkan pada awal April yang lalu," katanya.

Terdahulu, beliau berkata, ESSCOM dengan kerjasama semua agensi penguat kuasa dalam OCP Laut dan Daratan yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan sentiasa memperketatkan penguatkuasaan serta kawalan keselamatan di sempadan perairan laut dan daratan di daerah ini.

"Ini bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), aktiviti penyeludupan rokok dan barangan terkawal daripada cuba diseludup ke negara jiran," katanya.

Katanya, beliau menyeru semua penduduk khususnya komuniti maritim di kawasan pesisir pantai supaya sentiasa memberikan kerjasama dengan menjadi mata dan telinga kepada pasukan keselamatan menerusi talian 089-863181 atau kepada balai polis berhampiran.

"Komuniti maritim juga jangan bersubahat atau bersekongkol dengan tekong laut dan penyeludup yang cuba melanggar undang-undang negara dengan menyeludup masuk rokok yang tidak dibayar cukai kastam melalui laluan yang tidak diwartakan.

"Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya didapati ada dalam kalangan komuniti yang bersubahat dan melindungi penyeludup," katanya.