Remaja paling berisiko terlibat dadah

Zulkifli ketika sesi temu bual bersama Sinar Harian di Ibu Pejabat AADK di Kajang. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Zulkifli ketika sesi temu bual bersama Sinar Harian di Ibu Pejabat AADK di Kajang. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

PENYALAHGUNAAN dadah yang berleluasa kini bukan sahaja melibatkan golongan dewasa, tetapi juga melibatkan remaja yang masih bersekolah.

Ditambah pula dengan kewujudan pelbagai jenis dadah sintetik yang semakin berleluasa. Keadaan ini menyebabkan remaja dan pelajar-pelajar sekolah sentiasa berisiko terdedah dengan kegiatan penyalahgunaan dadah.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Zulkifli Abdullah berkata, seramai 1,275 orang positif pelbagai jenis dadah daripada 42,409 murid sekolah menengah di seluruh negara yang disaring tahun lalu.

“Saringan dilakukan untuk kita mengenal pasti murid yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah supaya tindakan intervensi awal dapat dilakukan sebelum mereka menjadi penagih tegar.

“Kita juga memiliki Pusat Pemulihan khas di Karangan, Kedah bagi menempatkan mereka yang berada dalam kelompok umur persekolahan iaitu 13 hingga 18 tahun,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Menurutnya, selain menjalani rawatan dan pemulihan dadah, mereka turut diberi peluang untuk mengikuti pengajian dalam pendidikan formal yang menumpukan kepada enam mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik dan Sains.

Zulkifli Abdullah. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Zulkifli Abdullah. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR

“Selain itu, penekanan juga terhadap Kemahiran 3M iaitu Membaca, Menulis dan Mengira. Kemasukan adalah secara sukarela atau melalui perintah mahkamah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Zulkifli berkata, data AADK pada tahun lalu untuk golongan pekerja pula mendapati 90,516 orang daripada statistik penyalahgunaan dadah adalah terdiri daripada individu yang bekerja.

“Daripada data ini, seramai 468 orang bersamaan 0.5 peratus merupakan penjawat awam daripada pelbagai kementerian dan jabatan.

“Walaupun secara relatifnya data penjawat awam yang terlibat adalah rendah, ia hanyalah melibatkan mereka yang berjaya dikesan,” katanya.

Zulkifli berkata, pihaknya bagaimanapun percaya masih ramai lagi penjawat awam yang terbabit dengan kegiatan penyalahgunaan dadah tetapi masih tidak dapat dikesan atau tidak tampil untuk mendapatkan rawatan pemulihan secara sukarela.

“Hal ini mungkin berlaku akibat pekeliling perkhidmatan sedia ada yang meletakkan kesalahan dadah sebagai pelanggaran peraturan yang berat sehingga boleh dikenakan tindakan buang kerja,” katanya.

Statistik penyalahgunaan dadah mengikut pecahan umur dan tahun.
Statistik penyalahgunaan dadah mengikut pecahan umur dan tahun.

Tampil secara sukarela

Zulkifli berkata, daripada 142,199 orang terlibat dengan penyalahgunaan dadah termasuk penagih dadah yang didaftarkan pada 2019, seramai 20,721 orang merupakan kes yang tampil mendapatkan rawatan dan pemulihan secara sukarela.

“Ini adalah merupakan data yang dikumpul daripada fasiliti pemulihan yang disediakan AADK, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP).

“Pada tahun ini terdapat pertambahan seramai 657 orang yang tampil secara sukarela di fasiliti pemulihan di bawah kendalian AADK,” katanya yang pernah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 34 tahun sebelum memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah AADK sejak Ogos 2018.

Zulkifli berkata, banyak pengalaman manis sepanjang beliau diberikan tanggungjawab meneraju agensi berkenaan.

“Antaranya ialah saya dapat melihat sendiri bagaimana seseorang klien itu menjalani rawatan dan pemulihan secara lebih dekat dan terperinci,” katanya.

Statistik penyalahgunaan dadah di kalangan kanak-kanak dan remaja.
Statistik penyalahgunaan dadah di kalangan kanak-kanak dan remaja.

Menurutnya, walaupun seseorang itu berjaya dipulihkan, namun terdapat pelbagai elemen yang perlu diperbaiki dan memerlukan kerjasama serta bantuan pelbagai pihak.

“Bermula daripada diri individu itu sendiri, sokongan ahli keluarga, bantuan majikan dari segi pekerjaan dan sokongan daripada komuniti yang perlu menghapuskan stigma terhadap bekas penagih dadah,” katanya.

Selain itu, katanya, melalui Projek Rintis yang dilaksanakan, beliau dapat melihat bagaimana jabatan-jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diterajui Pegawai Daerah dapat bekerjasama dalam merealisasikan Dasar Dadah Negara.

“Ini sekali gus dapat menyumbang ke arah pencapaian sasaran Dadah Terkawal 2025,” katanya.

Zulkifli hadir dalam program Sembang Santai bersama Komuniti Kampung Skudai Kiri, Tampoi, Johor.
Zulkifli hadir dalam program Sembang Santai bersama Komuniti Kampung Skudai Kiri, Tampoi, Johor.

Beliau berkata, matlamat Dasar Dadah Negara adalah untuk menangani masalah dadah di Malaysia secara menyeluruh.

“Struktur dasar itu sudah cukup cantik, namun kita boleh perbaiki pelaksanaan dasar itu kerana kita lihat perkara-perkara yang dilakukan oleh jabatan dan kementerian dilaksanakan secara bersendirian,” katanya.

Dasar Dadah Negara diperkenalkan pada 1983 kemudiannya diperkemaskan semula pada 2017 merupakan kerangka kerja yang komprehensif dalam usaha mencegah, merawat, memulih, menguatkuasakan undang-undang dan mengurangkan kemudaratan masalah penagihan dadah.

Ketagihan dadah penyakit kronik

Zulkifli berkata, ketagihan dadah merupakan penyakit kronik yang berulang mengikut terma perubatan.

“Jika kita mahu ‘layan’ penagih sebagai penjenayah, ia tidak akan membantu untuk memulihkan mereka. Tindakan yang diambil terhadap mereka juga perlu seimbang,” katanya.

Zulkifli berkata, masyarakat tidak boleh menyisihkan penagih dadah kerana golongan itu adalah pesakit yang wajar diberikan peluang menerima rawatan dan pemulihan.

Katanya, kebanyakan dalam kalangan golongan itu tersilap langkah dan terlibat dengan penyalahgunaan dadah

“Kerjasama antara jabatan-jabatan memainkan peranan masing-masing untuk menjayakan Projek Rintis dan mengatasi permasalahan dadah serta pelencongan sosial dalam negara.

“Kempen secara besar-besaran melalui Jawatankuasa Bertindak Pendidikan Pencegahan dan Publisiti dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia dalam menyampaikan mesej kesedaran semua lapisan masyarakat,” katanya.

Zulkifli berbincang dengan Komander National Task Force (NTF), Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah untuk menambah baik kerjasama antara AADK dan NTF bagi menangani isu penyalahgunaan dan penyeludupan dadah dalam negara.
Zulkifli berbincang dengan Komander National Task Force (NTF), Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah untuk menambah baik kerjasama antara AADK dan NTF bagi menangani isu penyalahgunaan dan penyeludupan dadah dalam negara.

Menurutnya, pandemik Covid-19 yang melanda negara juga memaksa pihaknya mengubah beberapa program dan kaedah pelaksanaannya yang dirancang terlebih awal.

“Kita perlu lebih kreatif dalam memastikan perkhidmatan dapat terus disampaikan tanpa melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Tambahnya, taktik licik pengedaran, kepelbagaian peralatan penagihan dadah dan juga kemunculan dadah-dadah baharu juga memaksa pihak berkuasa mengubah strategi mengikut kesesuaian agar dapat ditangani dan dikawal sebaiknya.

“Justeru, saya menyarankan agar kita semua dapat terus bekerjasama dan semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing dalam memastikan agar projek ini berjaya seterusnya sasaran Dadah Terkawal 2025 dicapai,” katanya.


PROFIL


Nama: Datuk Seri Zulkifli Abdullah

Jawatan: Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)

Tarikh lahir: 27 Disember 1960

Tempat lahir: Johor Bahru, Johor

Nama Isteri: Datin Seri Noraini Abdul Jalil

Anak: Empat orang

Pendidikan: Sekolah Rendah Kebangsaan Tambatan Johor Bahru, Johor (1967-1972)

Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, Perak (1973 - 1977)

Colchester Institute of Higher Education Essex, England (1978 - 1980)

University College Cardiff

- B.Sc (Hon) Mathematics (Wales) (1980 - 1983)

University of Wales College of Cardiff

- Master of Business Administration (MBA)

(1993 - 1994)

Gelaran dan pingat diterima:

Darjah Paduka Setia Kelantan (DSPK) diterima pada 30 Mac 2006.

Darjah Pahlawan Taming Sari (DPTS) diterima pada 19 April 2008.

Johan Setia Mahkota (JSM) diterima pada 3 Jun 2006.

Pingat Setia Pasukan Polis (PSPP) diterima pada Oktober 2010.

Pingat Gagah Pasukan Polis (PGPP) diterima pada 2012.

Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) peringkat pertama diterima pada 2 Oktober 2014

Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) pada 11 Mac 2016.

Panglima Jasa Negara (PJN) pada 27 September 2016.

Butir-butir perkhidmatan:

8 Januari 1984 - Memasuki PDRM sebagai Kadet ASP di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

18 November 1984 - ASP pentadbiran di Bahagian Pengurusan, Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor.

24 November 1985 - Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Kelantan (ASP).

1 Disember 1987 - Pegawai Jenayah Besar, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang (ASP).

8 November 1994 - Ketua Unit Siasatan Korporat, Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (DSP).

1 Oktober 1996 - Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan), Kontinjen Johor (Supt).

1 Julai 2002 - Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi), Kontinjen Johor (ACP).

15 Mac 2004 - Timbalan Pengarah III, Jabatan Logistik, Bukit Aman (SAC II).

28 Ogos 2005 - Ketua Polis Kelantan (SAC I).

16 julai 2007 - Ketua Polis Perak (DCP).

1 Disember 2010 - Ketua Polis Kuala Lumpur (DCP).

18 Mei 2011 - Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman (CP).

17 Ogos 2015 - Pengarah Pengurusan Bukit Aman (CP).

25 Julai 2017 - Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman (CP).

20 Ogos 2018 - Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

Penglibatan:

Pengerusi Jawatankuasa Induk Amalan Hijau dan Aplikasi Teknologi Hijau PDRM pada 2015

Pengerusi Keselamatan FAM (Football Association of Malaysia)pada 2017.

Timbalan Pengerusi Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad pada 2011.

Timbalan Presiden EAM (Equestrian Association of Malaysia) pada 2017.

Ahli Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) pada 2019.