Perlu tambah anggota polis

Hsiao Leung bergambar bersama pegawai dan anggota polis selepas lawatan ke Balai Polis Bukit Tengah semalam.
Hsiao Leung bergambar bersama pegawai dan anggota polis selepas lawatan ke Balai Polis Bukit Tengah semalam.
A
A
A

BUKIT TENGAH - Kerajaan Persekutuan diharap dapat menambah bilangan anggota polis di Balai Polis Bukit Tengah kerana keluasan pentadbirannya di sini.

Kawasan ini meliputi seluas seluas 57.6 km persegi namun jumlah keanggotaannya hanyalah seramai 62 orang.

Adun Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung berkata, jumlah anggota polis di sini jauh berbeza berbanding keluasan pentadbiran di Balai Polis Pulau Tikus yang hanya seluas 5.7km persegi, tetapi jumlah keanggotaannya seramai 170 orang.

"Saya berharap anggota di balai ini dapat ditambah jumlahnya memandangkan kawasan Bukit Tengah ini agak luas, disamping itu status pengredan di Balai Polis Bukit Tengah juga wajar dinaikkan daripada Gred C kepada Gred B bagi membolehkan jumlah keanggotaan di Balai Polis Bukit Tengah dapat ditingkatkan kepada lebih 100 orang.

"Saya juga berharap masalah infrastruktur dan kemudahan yang terdapat di Balai Polis Bukit Tengah, Balai Polis Komuniti serta pondok polis disini dapat diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan," katanya.

Hsiao Leung beramah mesra bersama anggota ketika dalam sesi lawatan kerja ke Balai Polis Bukit Tengah.
Hsiao Leung beramah mesra bersama anggota ketika dalam sesi lawatan kerja ke Balai Polis Bukit Tengah.

Beliau berkata demikian ketika dalam lawatan kerja di Balai Polis Bukit Tengah semalam.

Katanya, namun apa yang membanggakan, biarpun keanggotaan di Balai Polis Bukit Tengah hanya terdapat seramai 62 orang pada ketika ini, namun ia tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk meneruskan khidmat bakti.

Artikel Berkaitan:

"Kekurangan jumlah keanggotaan itu bukanlah suatu halangan untuk mereka melaksanakan aktiviti pencegahan jenayah.

"Statistik menunjukkan kadar jenayah di Bukit Tengah berjaya dikurangkan sebanyak 17.38 peratus pada tahun 2018 berbanding tahun 2017 dan ini suatu perkembangan yang sangat baik dan saya berharap kadar jenayah akan terus berkurangan pada masa akan datang," katanya.

Dalam pada itu, lawatan oleh Adun Bukit Tengah itu disambut oleh Ketua Polis Balai Bukit Tengah, Inspektor Ahmad Hamzah Kasdi bersama anggota di balai tersebut.