1,803 penghuni dan individu sekitar ILKKM disaring

Proses keluar masuk ke ILKKM Kempas, Johor Bahru diperketatkan berikutan PKPD yang dikuatkuasakan sejak 29 Oktober hingga 16 November ini.
Proses keluar masuk ke ILKKM Kempas, Johor Bahru diperketatkan berikutan PKPD yang dikuatkuasakan sejak 29 Oktober hingga 16 November ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 1,291 penghuni dalam Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) sudah disaring setakat ini.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, selain itu 512 individu yang berada di luar ILKKMJB juga dilakukan saringan.

"Proses saringan luar dan dalam itu bagi memastikan Kluster Kempas yang tercetus daripada ILKMM dapat dikawal dan tidak merebak.

"Sehingga semalam, kumulatif kes positif bagi kluster ini adalah kekal sebanyak 54 kes," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di ILKKM dilaksanakan pada 29 Oktober lalu melibatkan seramai 1,559 orang, pelatih, kakitangan serta ahli keluarga serta pekerja sokongan.

Kerajaan melaksanakan perintah tersebut selepas ILKMM terlibat dengan Kluster Kempas yang merupakan antara kluster terbaharu di Johor.

Dalam perkembangan lain, Vidyananthan berkata, terdapat dua kes baharu koronavirus (Covid-19) dilaporkan di Johor, satu daripadanya merupakan dalam kalangan pesakit Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dan seorang lagi kes dikesan hasil saringan kontak rapat.

Beliau memberitahu, kes terbaharu itu menjadikan kumulatif kes Covid-19 di Johor setakat ini berjumlah 921 kes dengan 21 kematian.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sebanyak 841 kes telah pulih iaitu 91.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes selain 59 kes yang aktif dan telah pun diasingkan dan diberi rawatan di hospital.

Sehingga semalam juga katanya, jumlah kluster aktif di Johor kekal sebanyak empat iaitu Kluster Meldrum dengan tujuh kes, Kluster Bayu (lapan kes), Kluster Kempas (54 kes) dan Kluster Rinting (10 kes).

"Tiada pertambahan kes bagi kluster aktif," katanya dan memaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor giat meneruskan aktiviti survelans sedia ada dan juga aktiviti saringan kontak kluster-kluster sedia ada.

Tambahnya, dijangkakan bahawa peningkatan kes dalam masa terdekat ini akan terus berlaku hasil daripada aktiviti itu dan diharapkan semua pihak dapat bertenang serta tidak menimbulkan panik dalam kalangan umum.