Siasat dalang di sebalik gerakan subversif UMANY

Mohd Razlan (tengah) selepas membuat laporan polis di Balai Polis Pantai, Kuala Lumpur hari ini.
Mohd Razlan (tengah) selepas membuat laporan polis di Balai Polis Pantai, Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO mendakwa terdapat pihak berkepentingan di sebalik tindakan subversif Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) terhadap institusi Raja Berperlembagaan di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, pihak berkuasa termasuk polis perlu menyiasat dalang sebenar di sebalik gerakan tersebut.

“Nampaknya UMANY tidak menarik balik kenyataan dan meminta maaf meskipun polis sudah menyiasat mereka di bawah Akta Hasutan.

"Sebab itu saya cakap ada dalang menyebabkan mereka menjadi begitu berani melakukan provokasi melampau terhadap Raja-Raja Melayu,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan di Balai Polis Pantai di sini hari ini.

Mohd Razlan berkata, beliau percaya gerakan subversif itu jika tidak dibendung akan mendatangkan mudarat kepada keharmonian dan perpaduan negara.

“Persatuan ini didokong oleh golongan mahasiswa yang radikal berpaksikan kononnya atas dasar hak dan kebebasan bersuara.

"Ini tidak betul kerana kita negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan,” katanya.

Sementara itu, Razlan juga mengharapkan agar pihak pentadbiran Universiti Malaya (UM) mengambil tindakan disiplin tegas terhadap setiap individu terlibat kerana telah menghina Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Berkaitan:

“Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga digesa agar tidak berlembut dengan tindakan pelajar tersebut yang jelas mempersendakan kedaulatan negara.

“Saya juga minta pengurusan Universiti Malaya (UM) terus mendokong Perlembagaan Persekutuan dan sistem Raja Berperlembagaan. Apa sahaja kebebasan bersuara, sekiranya ia melanggar lunas undang-undang, ia bukanlah kebebasan bersuara,” katanya.

Mohd Razlan ketika ditemui media selepas membuat laporan di Balai Polis Pantai, Kuala Lumpur hari ini.
Mohd Razlan ketika ditemui media selepas membuat laporan di Balai Polis Pantai, Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, polis menjalankan siasatan terhadap Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY), Yap Wen Qing mengikut Akta Hasutan berhubung kenyataan kontroversi mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan Wen Qing telah dipanggil untuk memberi keterangan bersabit siasatan yang diklasifikasikan di bawah Akta Hasutan 1948 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kelmarin, polis juga sudah memanggil Naib Presiden persatuan berkenaan, Tan Li Yuan untuk dirakam percakapan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Persatuan berkenaan sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila mempersoal kuasa dan keabsahan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam urusan politik baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN:Presiden UMANY disiasat di bawah Akta Hasutan

Pertikai kuasa Agong, UMANY digesa mohon maaf