Sultan Perak berangkat ke majlis kesyukuran, doa selamat

Sultan Nazrin berangkat ke Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-64 Sultan Perak hari ini di Masjid Negeri, Ipoh. - Foto Twitter Bernama TV
Sultan Nazrin berangkat ke Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-64 Sultan Perak hari ini di Masjid Negeri, Ipoh. - Foto Twitter Bernama TV
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini berangkat ke Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat sempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda ke-64 di Masjid Sultan Idris Shah II, di sini.

Turut berangkat Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Zulkarnain Sultan Idris Shah. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta barisan Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan.

Majlis yang bermula kira-kira 12 tengah hari itu dimulakan dengan bacaan Yassin yang dipimpin oleh Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim.

Kira-kira 250 jemaah hadir dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan wabak koronavirus (Covid-19) antaranya penjarakan fizikal.

Sultan Nazrin juga menunaikan solat Jumaat yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Sultan Idris Shah II, Abd Farid Salleh yang turut menyampaikan khutbah khas bertajuk ‘Mentaati Raja Tonggak Kesejahteraan Negara’.

Khutbah itu antara lain menyebut ketaatan kepada raja adalah jaminan kepada kesejahteraan serta kemakmuran sesebuah negara dan kuasa yang dimiliki oleh institusi diraja melangkaui kepentingan politik dengan segala titah perintah adalah berasaskan kepada kepentingan rakyat.

Sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-64 Sultan Nazrin, baginda berkenan mengurniakan darjah kebesaran dan pingat negeri Perak kepada 147 penerima, jumlah yang agak terhad berbanding sebelum ini dengan tertumpu kepada pasukan barisan hadapan yang mengekang penularan wabak Covid-19 selain ahli akademik.

Dua individu menerima Darjah Seri Panglima Taming Sari (SPTS); seorang menerima Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM); 11 individu menerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP); lima dianugerahkan Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS);

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Sultan Nazrin juga berkenan menganugerahkan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) kepada sembilan penerima, 15 menerima Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) termasuk Timbalan Ketua Penyunting Meja Bahasa Malaysia Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), David Chelliah manakala sembilan dianugerahi Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM).

Seramai 25 lagi menerima Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP), 27 dianugerahi Pingat Pekerti Terpilih (PPT), Pingat Jasa Kebaktian (PJK) diberikan kepada 38 orang penerima manakala lima lagi mendapat Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).

Disebabkan penularan Covid-19, Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia Menjunjung Duli dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak ditangguhkan pada satu tarikh yang akan ditetapkan.

Bagaimanapun, semua penerima yang membawa gelaran boleh menggunakan gelaran masing-masing bermula hari ini. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Panglima ATM, Timbalan KPN dahului senarai pingat