X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Penutupan 91 sekolah tak jejas pembelajaran

Kolej Vokasional Kerian antara institusi pendidikan yang akan ditutup mulai esok hingga 20 November depan berikutan risiko penularan wabak Covid-19 yang tinggi.
A
A

BAGAN SERAI - Penutupan 91 sekolah di daerah Kerian yang akan bermula esok tidak begitu menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata, proses pengajaran dan pembelajaran akan dilaksanakan secara dalam talian seperti sebelum ini.

Menurutnya, langkah penutupan tersebut perlu dibuat bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19) selain mengurangkan risiko jangkitan di dalam komuniti.

"Pihak Kementerian Pendidikan mengambil tindakan awal menutup sekolah yang berdaftar dengan kementerian itu bagi tujuan sanitasi untuk mengelak penularan Covid-19 ini.

"Bagi pihak kerajaan negeri meminta orang ramai khususnya ibu bapa supaya tidak panik dan tidak tergesa-gesa dan kemudian sama-sama menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar khas di pejabatnya di sini hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran akan berdasarkan inisiatif guru ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini mengikut garis panduan yang ditetapkan kementerian.

Razman berkata, sementara bagi kelas yang akan menghadapi peperiksaan mereka akan mengguna pakai mekanisme tertentu seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

Semalam, beliau mengumumkan sebanyak 91 sekolah di daerah Kerian ditutup mulai 7 hingga 20 November depan berikutan risiko penularan wabak Covid-19 yang tinggi.

Penutupan berkenaan melibatkan sekolah rendah dan sekolah menengah di bawah Kementerian Kesihatan, Kolej Vokasional serta sekolah swasta yang berdaftar dengan kementerian.

Terdahulu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim Parit Buntar, Perak berkuat kuasa Sabtu ini sehingga 20 November depan.

Beliau berkata, sehingga 3 November lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan sebanyak 12 kes positif Covid-19 direkodkan.

Menurutnya, penilaian risiko oleh KKM pula menunjukkan trend peningkatan kes Covid-19 terus berlaku di mukim tersebut.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!