Najib bidas kerajaan tambah AES, tiada diskaun saman

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membidas keputusan kerajaan yang mahu menambah lagi 11 buah kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) serta tidak lagi memberi diskaun saman.

Malah, beliau turut mempersoalkan kos untuk setiap kamera tersebut yang bernilai RM200,000 seperti diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang lebih mahal berbanding RM170,000 pada zaman pemerintahan BN.

Menurutnya, dulu beberapa pemimpin PH bersungguh-sungguh memperjuangkan agar kerajaan memansuhkan AES namun selepas mereka menjadi kerajaan, tidak pula mereka menghapuskannya.

“Dulu mereka sanggup berguling dan berdemo mendakwa kerajaan BN buat AES untuk menzalimi rakyat dan kita terlebih bayar 10 kali ganda untuk kamera.

“Bersungguh-sungguh mereka perjuangkan untuk mansuhkan sistem AES. Selepas jadi kerajaan, mereka tidak hapuskan AES sebaliknya mereka tambahkan jumlah kamera AES dengan banyak,” tulis beliau dalam laman Facebooknya.

Tambah Ahli Parlimen Pekan itu, beliau ‘teringat’ seorang pemimpin PH, kini bergelar timbalan menteri merupakan ‘pejuang berani mati mansuh AES’ yang turut menjadi Presiden Kempen Anti Saman Ekor (Kase).

Menurutnya, insan itu sering menyeru orang ramai supaya tidak membayar AES dan mendakwa sistem itu tidak adil, hanya untuk memeras wang rakyat, menekan serta menzalimi rakyat.

“Apakah AES tidak lagi menekan rakyat, tidak lagi memerah duit rakyat dan menzalimi rakyat? Bila BN buat, ianya zalim tetapi bila PH buat yang sama ianya bagus?

Artikel Berkaitan:

“Secara jujur, saya masih percaya bahawa sistem AES dapat membantu untuk meningkatkan keselamatan jalan raya dan boleh menyelamatkan nyawa dari terkorban seperti yang digunakan di negara-negara lain di dunia.

“Tetapi saya tidak senang hati bahawa PH telah menghasut, mempergunakan dan menipu rakyat selama bertahun-tahun tanpa sebarang rasa malu. Mereka langsung tak kisah bahawa rakyat tidak suka ditipu berkali-kali,” ujarnya.

Penghujung tahun lepas, Anthony Loke berkata kamera AES di semua lebuh raya akan ditambah untuk memastikan pemandu yang melebihi had laju dikenakan tindakan undang-undang

Menurutnya, tindakan sedemikian sebagai strategi untuk mengurangkan kemalangan di lebuh raya yang kebanyakannya berpunca daripada pemanduan melebihi had laju dibenarkan.

Sementara itu, Rabu lepas, Ahli Parlimen Seremban itu menegaskan dasar tiada tawaran diskaun terhadap notis kompaun dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi kesalahan lalu lintas akan dikekalkan.

Jelasnya, ia bertujuan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya selain tidak mahu pengguna jalan raya yang mendapat saman mengamalkan sikap menunggu tawaran diskaun sebelum membayar saman.