Diskaun saman meriahkan PDRM Selangor Merdeka Ride & Carnival 2023

Baharudin (dua dari kiri) bergambar bersama Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub menunjukkan t-shirt bagi acara kayuhan PDRM Selangor Merdeka Ride and Carnival 2023.
Baharudin (dua dari kiri) bergambar bersama Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub menunjukkan t-shirt bagi acara kayuhan PDRM Selangor Merdeka Ride and Carnival 2023.
A
A
A

SHAH ALAM - Lebih 80 hadiah cabutan bertuah selain kira-kira 2,000 peserta kayuhan akan memeriahkan program Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor Merdeka Ride and Carnival 2023 di tapak karnival Stadium Shah Alam, di sini, Sabtu ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, terdapat dua kategori iaitu terbuka dengan kayuhan sejauh 30 kilometer (km), manakala kategori VIP sejauh 10km.

Menurutnya, setakat ini seramai 1,500 peserta dari kalangan warga PDRM dan orang awam telah mendaftar untuk kayuhan ini.

“’Pendaftaran dengan bayaran RM70 ini masih dibuka sehingga kayuhan bermula pada jam 7.30 pagi (Sabtu).

PDRM Selangor Merdeka Ride and Carnival 2023 akan berlangsung di tapak karnival Stadium Shah Alam pada Sabtu.
PDRM Selangor Merdeka Ride and Carnival 2023 akan berlangsung di tapak karnival Stadium Shah Alam pada Sabtu.

“Kita jangka jumlah peserta kayuhan ini boleh mencapai 2,000 orang. Peserta akan menerima medal dan t-shirt dan kita amat mengalu-alukan masyarakat untuk sertai acara ini bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan,” katanya ketika ditemui di Karangkraf di sini pada Khamis.

Beliau yang juga merupakan pengerusi bagi acara berkenaan berkata, program kayuhan dan karnival ini adalah julung kali dianjurkan oleh Polis Selangor.

Katanya, karnival ini turut menyediakan program dan pameran sesuai untuk seisi keluarga antaranya petting zoo, fun fair, food truck, senamrobik, mini zoo, persembahan silap mata dan pameran motosikal serta kereta klasik.

Artikel Berkaitan:

“PDRM turut membuka booth oleh unit berkuda, unit anjing pengesan (K9), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial selain kaunter diskaun saman sebanyak 50 peratus.

Diskaun saman 50 peratus antara yang ditawarkan dalam program PDRM Selangor Merdeka Ride and Carnival 2023 di tapak karnival Stadium Shah Alam pada Sabtu.
Diskaun saman 50 peratus antara yang ditawarkan dalam program PDRM Selangor Merdeka Ride and Carnival 2023 di tapak karnival Stadium Shah Alam pada Sabtu.

“Masyarakat perlu rebut peluang ini kerana diskaun saman ini hanya untuk tempoh ketika program ini sahaja,”ujarnya.

Tambah beliau, selain itu, karnival ini akan dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang menawarkan lebih 80 hadiah istimewa antaranya motosikal Honda Vario, televisyen 65 inci, basikal elektrik, barangan elektrik serta tiket penerbangan.

“Karnival yang bermula 7 pagi hingga 7 malam ini juga akan dilengkapi artis tempatan seperti Hazama, Aris Ariwatan, Baggio Damasutra, Shidi Data, Zur Eda, Saiful Apek dan Yasin, kumpulan Arteh dan Nadia AF,” katanya.

Untuk info, karnival ini akan dihadiri Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Bagi yang berminat menyertai acara kayuhan boleh mendaftar di pautan https://www.heyjom.com/events/391.