X

Kindly register in order to view this article
!

Charlie Hebdo majalah sadis

A
A

PERANCIS kini mencetuskan ketegangan antara agama. Ia berpegang kepada kebebasan bersuara dan kebebasan untuk menghina dan mengkritik agama.

Pembunuhan seorang guru Perancis, Samuel Paty pada 16 Oktober 2020 di Conflans - Sainte - Honorine di luar Paris berlaku apabila beliau mengguna karikatur Nabi untuk mengajar kebebasan bersuara dalam sesi pengajaran di kelasnya.

Tindakan tersebut menyebabkan seorang pemuda Islam berketurunan Chechen membunuh guru berkenaan.

Ia dilakukan oleh seorang remaja 18 tahun, berasal dari Chechen, Russia, Abdoullakh Abouyedovich Anzorov. Aneh seorang remaja yang menyimpan kemarahan yang sangat tinggi sehingga sanggup membunuh.

Bermakna penghinaan guru itu terhadap Rasulullah tidak boleh ditoleransi lagi oleh anak muda itu.

Sebelum itu, majalah satira Charlie Hebdo menyiar semula karikatur penghinaan terhadap Nabi sempena bermula pembicaraan ke atas mereka yang dituduh terlibat dalam serangan pejabat majalah tersebut.

Akibat pembunuhan guru itu, warga Perancis bangkit dan melancarkan kempen menyokong kebebasan bersuara di Perancis.

Namun, sasaran kempen itu ditujukan untuk mendesak kerajaan Perancis bertegas menguatkuasakan kebebasan bersuara di Perancis agar terus bebas menghina Islam dan Rasulullah SAW.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron mempertahankan hak menghina agama Islam atas nama kebebasan bersuara. Malah beliau mengeluarkan kenyataan mendakwa “Islam dalam krisis”.

Macron membenarkan majalah Charlie Hebdo terus menerbit karikatur menghina Rasulullah SAW dengan dasar laicite (kebebasan bersuara) Perancis.

Malah beliau mengumumkan untuk menegakkan undang-undang 1905 di Perancis yang memisahkan gereja dengan urusan negara.

Di Jerman, terdapat akhbar mingguan anti-Semitic bernama Der Stürmer. Ia dikendalikan oleh seorang bernama Julius Streicher. Beliau sangat lantang menyokong pembunuhan kaum Yahudi pada tahun 1930-an.

Der Stürmer menerbitkan karikatur Yahudi iaitu bangsa yang didiskriminasi dan ditindas pada era tersebut.

Gambar karikatur Yahudi yang terkenal dengan ciri hidung bengkok, tamak dan gelojoh sering disiarkan dalam majalah Der Stürmer.

Jika katakan ada seorang Yahudi menyerang pejabat Der Stürmer dan membunuh staf Der Stürmer yang menghina Yahudi, apa agaknya reaksi rakyat Jerman?

Serangan pada 7 Januari 2015 di pejabat majalah mingguan Charlie Hebdo di Paris mengakibatkan 12 terbunuh, termasuk editor dan pelukis kartunnya.

Majalah itu terkenal mencetak bahan kontroversi termasuk kartun menghina Rasulullah pada tahun 2006 dan 2016.

Namun, serangan terkini yang membunuh guru itu mencetuskan kemarahan global. Karikatur menghina tidak boleh dianggap suatu jenaka.

Larry Flynt, seorang penerbit majalah lucah Hustler ditembak hingga lumpuh pada tahun 1978 oleh seorang supremis kulit putih yang menjadi pembunuh bersiri kerana dia menyiarkan kartun lucah.

Barat menyokong karikutur Charlie Hebdo kerana ia membawa mesej menghina Muslim.

Mencirikan Muslim Perancis sebagai barbarik adalah hipokrit jika diambil kira ratusan ribu yang dibunuh dalam era penjajah Perancis di Algeria antara tahun 1954 hingga 1962.

Demonstrasi kemarahan rakyat keatas keganasan Perancis di Algeria hanya berlaku pada tahun 1960, dua tahun sebelum perang selesai. Semua warga Perancis menyokong penghancuran Algeria.

Inilah hipokrasi Perancis dalam konsep kebebasan bersuara. Dunia Barat sangat faham maksud kebebasan bersuara hanya untuk menghalalkan serangannya ke atas Islam.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!