JPJ tingkat pemantauan, rondaan

Anggota JPJ melakukan rondaan lebih kerap di jalan-jalan berlakunya kemalangan.
Anggota JPJ melakukan rondaan lebih kerap di jalan-jalan berlakunya kemalangan.
A
A
A

BAGAN SERAI- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak menggerakkan 125 pasukan bagi memantau perjalanan trafik di sepanjang 224KM di Lebuh Raya Utara Selatan dan Jalan Persekutuan sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini.

Pengarahnya, Mohd Zawawi Zakaria berkata, pasukan terdiri 411 anggota itu digerakkan bermula 29 Januari lalu bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya dengan melakukan rondaan dari Tanjung Malim hingga Alor Pongsu dan jalan-jalan kerap berlakunya kemalangan.

Menurutnya, ia termasuk menambah bilangan anggota yang menyamar sebagai menumpang bas ekspres bagi mengesan pemandu yang gagal mematuhi peraturan sepanjang Op Selamat dijalankan sehingga 12 Februari ini.

"Kita telah mengadakan pertemuan dengan pengusaha bas dan memaklumkan operasi penyamaran itu sebagai peringatan kepada pemandu untuk memandu secara berhemah.

"Kita sedang laksanakan penyamaran dari semasa ke semasa untuk pastikan pemandu bas dapat mematuhi peraturan jalan raya seperti yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Stesen JPJ, Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol.

Mohd Zawawi berkata, tiga pasukan telah ditempatkan secara statik di Terowong Menora bagi melaksanakan penguatkuasaan.

"Kita menempatkan anggota di Vista Point, sebelum masuk terowong dan hentian kecemasan selepas terowong, arah utara dari jam 8 pagi hingga 6 petang.

Artikel Berkaitan:

"Langkah itu diambil untuk pastikan bahawa kita bersedia di lokasi berkenaan dan kehadiran kami dapat dirasai dalam kalangan pengguna lebuh raya," katanya.

Katanya, JPJ menggandakan penguatkuasaan itu dalam usaha menurunkan statistik kematian terutama pengguna motosikal akibat kemalangan jalan raya sebanyak 60 peratus.

"Pada masa sama, kita menyasarkan kemalangan dan kematian sifar di semua lebuh raya. Operasi berjalan selama 16 jam setiap hari sepanjang tempoh Op Selamat itu.

"Bagi memastikan kelancaran trafik, tempoh larangan kenderaan berat telah ditetapkan bermula Sabtu hingga Isnin depan iaitu sebelum perayaan dan 9 serta 10 Februari, selepas perayaan," katanya.