Belanjawan 2021: Nelayan pesisir pantai mahu ESH dinaikkan

A
A
A

SUNGAI BESAR - Nelayan pesisir pantai di Sungai Haji Dorani di sini merayu kerajaan menaikkan Elaun Sara Hidup (ESH) nelayan daripada RM300 sebulan kepada RM500 sebulan dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat Jumaat ini.

Ketua Jaringan Perikanan Sungai Haji Dorani, Zulkarnain Saidek berkata, kenaikan ESH amat penting bagi mengurangkan beban golongan itu yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, mereka kini berdepan dengan masalah hasil tangkapan yang semakin berkurangan.

"Kami juga terpaksa berdepan ancaman bot pukat tunda yang menjalankan kerja-kerja tangkapan ikan di kawasan larangan (pesisir pantai) hingga menyebabkan hasil tangkapan ikan merosot teruk.

"Laut bergelora turut menyebabkan kami tidak dapat menangkap ikan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Zulkarnain berkata, selain itu beliau mencadangkan kerajaan menghapuskan bayaran insentif hasil tangkapan ikan (IHTI) sebanyak 10 sen setiap kilogram dan digantikan dengan bayaran ESH.

"Bayaran IHTI ini hanya menguntungkan bot besar yang mempunyai tangkapan lebih banyak berbanding kami nelayan pesisir pantai yang hanya mampu mendaratkan ikan maksimum kira-kira 10 kilogram.

"Kalau kami dapat mendaratkan ikan sebanyak 10 kilogram, maka kami hanya mampu memperoleh RM1 berbanding pengusaha bot besar yang boleh menangkap lebih banyak ikan setiap kali keluar ke laut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nelayan, Suhaimi Baharin, 37, berharap kerajaan memberi bantuan sampan fiber kepada golongan itu kerana ramai di antara mereka tidak mampu membeli sampan baharu dan terpaksa membuat pinjaman.

Katanya, sampan fiber dilengkapi enjin dianggarkan bernilai RM22, 000 itu tidak mampu dibeli menyebabkan golongan muda tidak berminat menjadi nelayan.

"Kami berharap ada mekanisme baharu diumumkan kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2021 termasuk bantuan bot kepada mana-mana bot yang uzur dan memerlukan penggantian," katanya.