Mahu pinjam RM50,000 tapi rugi RM18,500

Seorang ejen insurans alami kerugian selepas ditipu sindiket pinjaman wang tidak wujud. Gambar kecil: Mohd Wazir
Seorang ejen insurans alami kerugian selepas ditipu sindiket pinjaman wang tidak wujud. Gambar kecil: Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang ejen insurans yang mahu membuat pinjaman wang sebanyak RM50,000 mengalami kerugian RM18,500 selepas ditipu sindiket pinjaman wang tidak wujud.

Dalam kejadian pada 15 Oktober lalu itu, mangsa berusia 26 tahun itu membuat permohonan dalam talian melalui Facebook bagi mendapatkan pinjaman peribadi daripada sebuah syarikat kewangan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, selepas membuat permohonan itu, mangsa telah dihubungi seorang lelaki dikenali Cyrus Lim memaklumkan pinjamannya sudah diluluskan dengan kadar bunga sebanyak 4.88 peratus dikenakan, namun meminta mangsa memasukkan wang RM1,500 terlebih dahulu.

"Selepas mangsa membuat pembayaran tersebut, suspek sekali lagi menghubungi mangsa, meminta memasukkan wang RM11,500 untuk beberapa pembayaran berkaitan polisi syarikat.

"Mangsa ketika itu tidak mengesyaki dia ditipu dan memasukkan semua jumlah yang diminta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pada 16 Oktober lalu, mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita yang mendakwa pegawai dari pengurusan pinjaman dan kredit syarikat kewangan pinjaman itu.

Jelasnya, suspek meminta mangsa memasukkan wang RM3,500 bagi kelulusan pinjaman itu dan mangsa akur.

"Semalam mangsa telah menghubungi untuk membatalkan permohonan pinjaman dan mahu mendapatkan semula wang miliknya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berkata, suspek telah meminta mangsa membayar RM2,000 bagi tujuan itu dan wang tersebut telah dimasukkan ke akaun yang diberikan oleh suspek.

"Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands semalam selepas menyedari tertipu dan mengalami kerugian," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.