Rakyat mual sikap pemimpin tak peka

No Image Caption
A
A
A

NAMPAKNYA nama Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali terus popular, namun popularnya kerana sebab yang salah. Beliau sekali lagi menjadi bahan kritikan di media sosial kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan koronavirus (Covid-19) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam hantaran menerusi akaun Facebook beliau yang telah dipadamkan kemudiannya - namun berjaya ditangkap layar dan dimuat turun gambar-gambar berkaitan oleh warga maya - kelihatan Khairuddin tidak memakai pelitup muka ketika misi ziarah dan memberi sumba-ngan kepada penduduk baru-baru ini.

Sebelum ini, nama Khairuddin yang merupakan Menteri Perusa-haan Perladangan dan Komoditi meletup di media massa dan media sosial selepas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun membuat keputusan NFA (No Further Action) terhadap beliau yang disiasat kerana melanggar SOP kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara baru-baru ini.

Keputusan itu menimbulkan banyak persoalan kerana sebelum itu Khairuddin sendiri mengaku kesilapan beliau tidak melakukan kua-rantin kendiri dan dikompaun sebanyak RM1,000 oleh KKM, malah beliau berikrar memulangkan wang gajinya sebagai menteri dari Mei hingga Ogos kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19).

Namun, ketika isu itu agak tenggelam dek keriuhan spekulasi darurat yang akhirnya ditolak Majlis Raja-Raja dan titah Yang di-Pertuan Agong agar semua pemimpin politik berhenti berpolitik (politicking) demi menumpukan perhatian kepada Belanjawan 2021 yang diharap menguntungkan rakyat dalam menghadapi kesan Covid-19, Khai-ruddin kembali mencuri perhatian dengan perangai lamanya – melanggar SOP.

Sokongan

Kali ini tindakan Khairuddin mendapat sokongan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang menulis dalam hantaran akaun Facebooknya pada Isnin.

Nik Abduh berkata, tindakan Mohd Khairuddin memberi ‘pencerahan’ kepada orang awam mengenai peraturan memakai pelitup muka.

Artikel Berkaitan:

Menurut Nik Abduh, tindakan Khairuddin itu untuk menunjukkan dan membezakan bahawa hanya di tempat sesak wajib pakai pelitup muka, manakala di tempat tidak sesak, ia tidak wajib.

Nik Abduh yang merupakan Ahli Parlimen Bachok mendakwa perbuatan menularkan gambar menteri berkenaan adalah aktiviti pembodohan terhadap minda rakyat yang dirancang oleh musuh politik mereka iaitu Pakatan Harapan (PH).

Hantaran Nik Abduh mendapat kritikan warga maya yang kecewa dengan layanan dwi standard terhadap orang awam yang berbeza dengan pemimpin politik yang dilihat kebal daripada menerima tindakan undang-undang apabila mereka melanggar SOP.

Sikap menuding jari menyalahkan pihak lain terutama musuh politik apabila salah laku mereka didedahkan kepada umum juga perlu dihentikan.

Segelintir pemimpin UMNO yang dilihat tidak mengikut peraturan memakai pelitup muka ketika keluar daripada Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini turut mengundang kritikan ramai.

Pemimpin pembangkang pula jangan sangka mereka terselamat daripada kritikan kerana setiap langkah mereka sentiasa dalam pemantauan warga maya.

Rakyat sebenarnya mual dengan keangkuhan ahli politik yang sering menganggap mereka kebal daripada tindakan undang-undang kerana mempunyai kedudukan dalam kerajaan atau berada dalam kelas tersendiri sehingga tidak perlu mematuhi sebarang peraturan yang mereka sendiri gubal.

Ahli politik perlu ingat, rakyat kini sudah celik dan mereka sentiasa menilai tingkah laku ahli politik terutama mereka yang berada dalam kerajaan dan bergelar menteri. Gaji mereka adalah hasil cukai daripada pendapatan rakyat.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin menjelang dan rakyat pasti tidak mahu memilih serta membuang duit membayar gaji menteri yang tidak memahami aspirasi dan denyut nadi rakyat.

* Taufik Asmady Abdul Aziz ialah Ketua Unit FWOD Sinar Harian.