Kerajaan diharap perkasa pembangunan nelayan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

GEORGE TOWN - Golongan nelayan berharap kerajaan dapat memberikan fokus kepada pembangunan golongan itu dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Jumaat ini.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Abdul Hamid Bahari berkata, Belanjawan 2021 ini diharap dapat menggariskan mengenai pemerkasaan pembangunan nelayan bagi mencapai matlamat dalam membantu meningkatkan taraf hidup komuniti nelayan keseluruhannya.

“Untuk belanjawan yang akan datang ini, kami di pihak nelayan berharap kerajaan mengekalkan kedudukan minyak subsidi, iaitu dengan memastikan harga minyak subsidi dijual lebih murah daripada (harga) minyak industri.

“Hal ini kerana sekarang (sejak Mac hingga kini), kerajaan telah meletakkan harga minyak industri lebih murah daripada minyak subsidi, iaitu dianggarkan sebanyak RM1.48 sehingga RM1.55 seliter daripada minyak subsidi iaitu RM1.65 seliter.

“Dengan mengekalkan harga minyak subsidi, ia diharap dapat mencapai matlamat membantu golongan itu dalam meneruskan kelangsungan hidup, lebih-lebih lagi ketika berdepan pandemik Covid-19,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Selain itu, beliau turut berharap agar kerajaan melalui Jabatan Perikanan memberi perhatian mengenai isu lesen bot nelayan (Zon A), yang kini berdepan penangguhan permohonan lesen untuk jangka masa yang agak lama.

“Nekmat juga berharap kerajaan Persekutuan dapat membuat penambahan bajet untuk perumahan nelayan, selain memohon untuk meningkatkan pinjaman di bawah program Dana Nelayan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Diharap dengan peningkatan jumlah pinjaman menerusi Dana Nelayan iaitu daripada RM25,000 setahun hingga RM50,000 setahun, kebajikan nelayan akan terbela, pada masa yang sama dapat menambah baik dan memperkasakan projek hiliran (projek berkaitan sektor perikanan),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, wakil nelayan Kuala Muda Penaga, Yahya Mohamed Ismail berkata, kerajaan (melalui Jabatan Perikanan) digesa mempertimbangkan permohonan lesen bot nelayan, sebagai kaedah melindungi kebajikan nelayan keseluruhannya.

“Untuk belanjawan akan datang ini, kami hendak kerajaan ambil serius mengenai lesen bot nelayan, sebab jika ada sesuatu bencana terjadi di laut, nelayan yang tiada lesen ini tidak akan dapat apa-apa pampasan atau perlindungan yang boleh disifatkan ‘mati katak’,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Kampung Kuala Muda, Penaga berkata setakat ini, sebanyak 300 nelayan Kuala Muda Penaga yang berdaftar mempunyai lesen bot, manakala 62 daripadanya masih menunggu kelulusan dari Jabatan Perikanan.

“Permohonan (lesen bot) sudah dibuat sejak sekian lama. Jadi, kita tidak mahu nelayan yang tiada lesen bot ini menghadapi risiko ketika turun ke laut. Lagipun sekarang musim ribut, kalau turun ke laut risikonya amat tinggi,” katanya. -Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!