ACD kesan peningkatan empat kali ganda kes Covid-19 di Labuan

Petugas KKM membuat persediaan sebelum saringan Covid-19. Gambar hiasan - Foto Bernama
Petugas KKM membuat persediaan sebelum saringan Covid-19. Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - Operasi Pengesanan Kes Secara Aktif (ACD) yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Labuan menyaksikan peningkatan empat kali ganda kes koronavirus (Covid-19) di wilayah itu dalam tempoh kurang sebulan, kata Pengarahnya, Dr Ismuni Bohari.

Sehingga semalam, jumlah keseluruhan kes Covid-19 direkodkan di Labuan adalah sebanyak 592 berbanding hanya 111 kes pada 16 Oktober lepas.

Dr Ismuni berkata, pelaksanaan ACD yang juga sebahagian daripada kaedah saringan bersasar dijalankan di kawasan berpenduduk padat dengan jumlah warga asing tertinggi seperti di Skim Penempatan Masyarakat Pelarian (SPMP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kampung Muslim dan Kiansam.

“Kami menjangkakan jumlah kes akan melonjak pada minggu ini berdasarkan pelaksanaan ACD yang agresif dilakukan di dua penempatan terbabit minggu lepas dan keputusan ujian masih belum diketahui.

“Kami juga mencari individu yang tidak disaring, kemungkinan positif Covid-19, berikutan kemunculan beberapa kluster baharu dan langkah untuk mencegah penularan penyakit ini kepada masyarakat setempat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dr Ismuni berkata, pelaksanaan ACD telah menunjukkan kejayaan dalam mengesan kes baharu dan penemuan kluster baharu iaitu kluster Titian (di Kampung Muslim) pada Jumaat lepas dan kluster Tenaga (sebuah rumah sewa kongsi di Jalan Tenaga) pada 2 November.

Katanya, pelaksanaan ACD turut diperluaskan ke perkampungan tempatan di Kampung Lajau dan Tanjung Aru.

“Kami juga menjalankan ACD di tempat paling sibuk di Bangunan UTC Pasar Sentral dengan sekurang-kurangnya 380 sampel diambil dan keputusan masih belum diketahui,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Labuan bermula 17 hingga 30 Oktober sebelum dilanjutkan hingga 13 November ini.

Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan keseluruhan 592 kes positif Covid-19 dengan lima kluster aktif iaitu Saguking dengan 262 kes, Tenaga (57), Limbungan (41), Bina (24), Titian (13) dan Bundle (31). - Bernama