Teroka teknologi digital, pasarkan produk pelancongan Langkawi

Gambar hiasan. Foto: www.langkawi-info.com
A
A

LANGKAWI - Pemain industri pelancongan di pulau peranginan ini perlu memahirkan diri serta meneroka teknologi digital untuk memasarkan produk pelancongan seterusnya dapat membuka peluang baharu untuk merancakkan ekonomi.

Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis berkata kaedah pemasaran industri pelancongan semakin berubah termasuk tempahan yang kini boleh dibuat secara dalam talian tanpa menerusi agensi pelancongan.

Katanya pemain industri tidak lagi boleh menggangap internet sebagai pengacau sebaliknya perlu segera dikuasai untuk memasarkan produk pelancongan Langkawi menerusi teknologi tanpa sempadan itu.

"Mengambil kira faktor tersebut MITA bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mengambi inisiatif menganjurkan 'Inbound Tourism Bootcamp’ (ITB) melibatkan 48 peserta mewakili agensi pelancongan dan produk operator.

"Sepanjang tiga hari bootcamp ini peserta didedahkan dengan beberapa kaedah terbaik untuk meningkatkan produktiviti mereka menerusi 'digital tourism', 'Mastering Inbound Tourism Industry', 'Strategising Star Package - Inbound Tourism Product' dan 'Strategising Star Package - Inbound Tourism Product',” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup ITB di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Uzaidi yang juga Pengerusi Produktiviti Pelancongan Nexus berkata Langkawi merupakan destinasi terkenal serta produk penting kepada pemain industri negara malahan semakin banyak agensi pelancongan dan hotel berdaftar di pulau bebas cukai ini.

”MITA nak tengok macam mana kita boleh maksimakan produktiviti dalam industri yang semakin kompetitif ini kerana kita juga mendapat saingan daripada Phuket dan Koh Samui di Thailand.

"Menerusi bootcamp ini kita beri kaedah terbaik supaya pemain industri pelancongan dapat bersama-sama pihak penguasa termasuk Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) agar dapat bergerak seiring," katanya.

Selain penggunaan teknologi, Uzaidi juga mengalakkkan agensi pelancongan untuk proaktif menyertai pameran di luar negara khususnya China yang merupakan pasaran penting buat industri pelancongan negara.

"China merupakan pasaran penting untuk kita, setiap bulan MITA mengadakan roadshow di negara tersebut. Kita memang menggalakkan agensi pelancongan untuk turut sama menyertai roadshow yang diadakan, kita perlu wujudkan satu branding ejen tempatan yang kuat supaya jika pelancong negara itu lihat nama tersebut mereka sudah tahu perkhidmatan yang mampu kita tawarkan," katanya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia