150 pakar, pemain industri berkumpul bincang masa depan media

Robot dinamakan Pepper dari syarikat Robopreneur yang akan membantu Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 hari ini di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, Ipoh. Foto Bernama
Robot dinamakan Pepper dari syarikat Robopreneur yang akan membantu Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 hari ini di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, Ipoh. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Kira-kira 150 pakar dan pemain industri media berkumpul di Hotel Casuarina Meru, di sini hari ini, untuk meneroka tindakan seterusnya terhadap media tradisional dan wartawan konvensional dalam era digital, menerusi forum yang diadakan bersempena dengan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023.

Bertemakan "Masa Depan Media”, Forum Media Hawana 2023 akan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil pada 8.30 pagi.

Bahagian pertama forum itu akan membincangkan kerelevanan media tradisional, peralihan daripada kaedah cetak kepada digital dan cara untuk menarik hasil pengiklanan.

Ketua Pengarang The Jakarta Post, M. Taufiqurrahman dijangka berkongsi tentang kelangsungan media tradisional di Indonesia dan bagaimana ia mengekalkan pengiklannya terhadap portal.

Penasihat Kanan Persatuan Pengiklan Malaysia, Mohammad Kadri Taib pula bersedia berkongsi maklumat tentang cara persatuan itu membantu mengalih semula pengiklan kepada media tradisional, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Mindshare & Msix S. Sheila akan bercakap tentang strategi untuk menarik pengiklan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Rev Media Group, Nicholas Sagau dijangka membicarakan pengalaman Media Prima berkenaan transformasi digital dan bagaimana konglomerat media mempromosikan platform digitalnya sambil mengekalkan bahagian pasaran dalam media tradisional.

Dikendalikan oleh Pengarah Eksekutif Petra News, Datuk Ahirudin Attan, bahagian kedua forum itu akan menumpukan tentang kewartawanan konvensional dalam menyesuaikan diri dalam persekitaran digital dan media baharu.

Bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Suhaimi Sulaiman yang kini Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), berkemungkinan berkongsi pandangan peribadinya dalam mengubah beberapa stesen televisyen di negara ini, kepentingan kewartawanan konvensional dalam era berita palsu, serta kewartawanan digital dan mudah alih.

Dalam pada itu, Pengurus Negara AFP bagi Malaysia, Indonesia dan Brunei Alric Manickam dijangka membincangkan tentang pengalaman dan cabaran transformasi AFP global serta perkara yang diperlukan untuk perubahan itu.

Pakar penjenamaan Andrew Arnold Ambrose pula akan menumpukan kepada pemasaran antara media konvensional dengan pempengaruh media sosial, cabaran menguruskan reputasi jenama dalam era digital, data analisis dan kandungan yang direka.

Dianjurkan bersama Bernama dan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), peserta forum terdiri daripada wartawan, koresponden dan ahli akademik dari Singapura, Filipina, Vietnam, Indonesia, China, Jepun dan Kuwait.

Sambutan Hawana 2023 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital dengan pelaksanaannya dikendalikan oleh Bernama.

Bertemakan "Media Bebas, Tunjang Demokrasi”, Hawana 2023 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim lewat hari ini. - Bernama