Greece, Macedonia gaduh kerana nama

Sumber foto: BBC.Com
Sumber foto: BBC.Com
A
A
A

HAMPIR 28 tahun lamanya hubungan antara Greece dan Macedonia dingin kerana pertikaian nama “Macedonia”. Kemuncaknya, ia menyaksikan protes besar-besaran di kedua-dua negara Balkan tersebut pada 20 Januari lalu.

Di Greece, lebih ratusan ribu rakyat merusuh di pekarangan parlimen Greece kerana marah keputusan Perdana Menterinya Alexis Tsipras mengadakan pengundian di Parlimen bagi menamatkan pertikaian antara kedua tersebut.

Di Macedonia pula, ribuan rakyat keluar ke jalan raya memprotes Perjanjian Prespa yang dimeterai antara Greece dan Macedonia.

Jumaat lalu, Parlimen Greek menyaksikan keputusan majoriti tipis apabila 153 daripada 300 wakil rakyat Greece mengundi menyokong pertukaran nama baharu negara Macedonia kepada Republik Macedonia Utara. Dengan keputusan tersebut, Tsipras bersama partinya Syriza dan parti bebas telah berjaya dalam proses merungkai pertikaian berusia tiga dekad tersebut.

Mengapa Greek mempertikai nama Macedonia?

Identiti. Bangsa Greek mendakwa nama Macedonia adalah identiti bangsa dan bahasa milik orang-orang Greek. Asas pertikaian juga, bangsa Greek mendakwa nama Macedonia merupakan sejarah asal Greece serta merujuk kepada nama salah sebuah negeri di utara Greece. Mereka turut membantah penggunaan nama adiwira terulung bangsa Greek, Alexander the Great di mana-mana bangunan atau tempat di Macedonia.

Pada tahun 1991, Macedonia mencapai kemerdekaannya dari Yugoslavia selepas kejatuhan Soviet Union. Greece membantah nama tersebut. Dua tahun kemudian, Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) mengiktiraf Macedonia sebagai Former Yugoslav Republic of Macedonia atau FYROM. Perasaan tidak puas hati Greece berlarutan lagi.

Prespa jadi saksi

Artikel Berkaitan:

Pada Jun 2018, kedua-dua pemimpin Tsipras dan Perdana Menteri Macedonia Zoran Zaev dengan perantaraan Kesatuan Eropah (EU) mencapai kesepakatan - Macedonia akan menukar namanya kepada Republik Macedonia Utara. Perjanjian tersebut juga dimuktamadkan dengan Macedonia perlu menukar nama lapangan terbang dan lebuh rayanya, yang mengaitkan adiwira Greek, Alexander the Great.

Perjanjian Prespa tersebut bagaimanapun, telah menghangatkan semula perdebatan antara rakyat kedua negara.

Pada September 2018, majoriti rakyat Macedonia memboikot referendum dengan hanya 37 peratus rakyat yang keluar mengundi. Dalam referendum tersebut, 91.5 peratus pengundi (daripada 37 peratus) menyokong usul menganggotai Nato dan EU dengan menukar nama kepada Macedonia Utara. Jelas, usaha damai Athens-Skopje melalui referendum - gagal membuahkan hasil.

Konflik tiga dekad antara dua negara tersebut mengundang impak besar dalam politik Balkan, antara lain:

a) Hubungan masih dingin

Walaupun negara berjiran tersebut kelihatan ‘berjaya’ merungkai pertikaian nama tersebut, hakikatnya rakyat kedua-dua negara masih lagi tegang dan saling membenci.

b) Jejas keamanan

Kekecohan, aksi ganas dan huru-hara berlarutan sekali gus menjejaskan keamanan di bandar utama Greece dan Macedonia. Di Greece menyaksikan rakyat merusuh dan merempuh sekatan polis di perkarangan Parlimen. Dilaporkan lebih 25 anggota polis cedera dan lebih 10 perusuh ditahan.

c) Peluang Macedonia anggotai EU, Nato

Sejak merdeka, jalan Macedonia menganggotai EU dan Nato telah samar-samar kerana disekat oleh Greece. Kejayaan Perjanjian Prespa bakal membuka jalan buat Macedonia memasuki blok politik dan keselamatan yang penting di Eropah tersebut. Langkah tersebut dianggap strategik untuk masa depan pembangunan Macedonia.

d) Greece bakal hadapi pilihan raya

Independent Greeks, parti berhaluan kanan yang juga komponen kerajaan Tsipras - mengugut untuk keluar daripada pakatan kerajaan. Ini telah menggoyahkan pakatan dan berkemungkinan Greece bakal berdepan pilihan raya (snap election). Pembangkang khususnya parti New Democracy aliran konservatif dengan jelas menentang perjanjian Tsipras-Zaev. Bancian politik menunjukkan hampir 70 peratus rakyat turut sama membangkang Perjanjian Prespa tersebut.

e) Tsipras-Zaev cipta sejarah

Walaupun majoriti rakyat tidak sepenuhnya menyokong usaha damai Athens-Skopje, usaha positif menamatkan hubungan dingin mereka wajar dipuji dan telah mencipta sejarah tersendiri dalam politik Balkan.

f) Macedonia bergolak

VMRO-DPMNE, parti haluan kanan menyifatkan referendum telah gagal berdasarkan majoriti rakyat Macedonia memboikot referendum dan membantah usaha damai Athens-Skopje. Ini menimbulkan pergolakan dan ketegangan politik dalam Macedonia sendiri.

Dialog wajar disemarakkan

Penyelesaian secara politik telah lama diusahakan. Malangnya, peranan EU serta para pemimpin Eropah bagi menjernihkan hubungan kedua-dua negara tersebut dilihat belum berupaya meleraikan konflik ini secara tuntas.

Usaha-usaha dialog yang melibatkan pelbagai segmen termasuklah cendekiawan, agamawan, badan pemikir, budayawan, sejarawan tanpa mengabaikan masyarakat awam – harus disemarakkan bagi meredakan emosi dan merangsang kesefahaman bersama.

Media massa juga perlu menjadi jambatan antara kedua buah negara. Bukan mengapi-apikan rakyat.

Isu tuntutan negara berdasarkan identiti dan sejarah sewajarnya diselesaikan secara rasional, jernih hati dan mengutamakan nilai-nilai toleransi dan keamanan sejagat mengatasi perasaan taAsub, budaya ganas, rasisme dan nasionalisme yang melampau.

* Penulis pelajar PhD Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, aktivis Gen Two Training Academy (Gentra) dan pengasas Euromates