Ebit Liew sifatkan polis maut ketika kejar penjenayah seorang pejuang

Ebit Liew (kiri) memberi penghormatan terakhir kepada keluarga anggota polis, Nicholester, semalam.
Ebit Liew (kiri) memberi penghormatan terakhir kepada keluarga anggota polis, Nicholester, semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU- Pendakwah terkenal, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew menyifatkan anggota polis yang terkorban ketika menjalankan tugas mengejar penjenayah semalam, sebagai pejuang.

Ebit yang memuatnaik hantaran di laman Facebook (FB) miliknya turut berkongsi rasa sedih dengan pemergian Konstabel Nicholester Dadup Unggat, 20 yang terkorban ketika bertugas.

Katanya, beliau bergegas ke Johor Bahru semalam sejurus menerima berita mengenai anggota polis itu.

"Saya sangat sedih hari ini apabila perginya seorang pejuang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu Konstabel Nicholester Dadup Unggat dan Lans Koperal Mohd Fadhirul Musa, 32 pula cedera parah. Mereka terlibat kemalangan semasa mengejar penjenayah.

"Selepas itu, saya terus bergegas ke Johor. Sebaik sampai, terharu sangat apabila Ketua Polis Johor yang teramat saya hormati dan sayangi Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menanti saya dan bawa ziarah mereka walau dah malam. Semua anggota polis dan keluarga ramai di sini," tulisnya dalam Facebook beliau.

Dalam pada itu, Ebit Lew berkata, kakak Nicholester iaitu Elizcavelynicy Unchi Unggat amat terharu dengan kehadiran beliau untuk menziarahi jenazah anggota polis itu dan tidak menyangka kehadirannya bagi memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi semalam, Nicholester maut manakala rakan setugas Mohd Fadhirul cedera parah selepas kereta peronda MPV Polis dinaiki mereka terlibat kemalangan sewaktu mengejar sebuah kereta di Jalan Kangkar Tebrau.

Artikel Berkaitan: