Mohon lampu jalan depan masjid

Kedudukan Masjid al-Faizin Pulau Ketam di tepi jalan utama.
Kedudukan Masjid al-Faizin Pulau Ketam di tepi jalan utama.
A
A
A

JITRA - Khariah Masjid al-Faizin Pulau Ketam memohon Jabatan Kerja Raya (JKR) memasang lampu jalan di hadapan masjid mereka bagi mengelak berlakunya kemalangan.

Imam masjid, Solahuddin Ishak berkata, kedudukan masjid di tepi jalan utama Jitra-Kodiang sangat membahayakan anak kariah terutamanya pada waktu malam.

Katanya, kebanyakan kemalangan berlaku melibatkan jemaah yang dalam perjalanan datang dan pulang dari masjid.

"Anak kariah kita kebanyakan tinggal di seberang jalan seperti di Kampung Telok Ara, jadi mereka terpaksa melintas jalan untuk ke masjid.

"Kalau bulan puasa, lagi kita risau sebab ramai anak kariah mengerjakan solat Tarawih di sini, jadi keadaan lebih kelam kabut," katanya, semalam.

Menurutnya, dalam Januari sahaja sudah berlaku tiga kemalangan di kawasan ini.

"Selain kemalangan, kes kecurian juga meningkat apabila banyak kes pecah kereta jemaah direkodkan.

"Kawasan yang gelap menjadi kelebihan buat penjenayah untuk menjalankan kegiatan mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Solahuddin berharap, pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera bagi memberi keselesaan kepada anak kariah masjid.

Sementara itu, Penghulu Mukim Gelong, Mohd Sharumnisham Shahbudin berkata, pihaknya pernah membuat permohonan kepada JKR sebelum ini, namun masih belum menerima maklum balas.

"Jalan FT176 berkenaan adalah jalan persekutuan dan saya difahamkan berkaitan lampu ini permohonan perlu dibuat di peringkat kementerian.

"Jadi saya amat berharap masalah ini segera diberi perhatian oleh semua pihak kerana selain keadaannya yang gelap, juga ada satu simpang di depan masjid, jadi amat berbahaya kepada jemaah," katanya.