X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Peranan institusi raja semakin mencabar

Khairil Azmin Mokhtar
A
A

KEMELUT politik tanah air yang berlaku sejak Februari lalu memberikan pelbagai impak serta perspektif baharu apabila negara bukan sahaja berdepan krisis kesihatan akibat pandemik koronavirus (Covid-19) dan krisis ekonomi, malah sikap segelintir pemimpin politik turut menggugat kestabilan politik negara.

Bagaimanapun di sebalik kemelut itu, peranan yang dimainkan Yang di-Pertuan Agong dalam menghadapi cabaran tersebut dilihat begitu menonjol dan membuktikan kredibiliti serta kebijaksanaan Raja-raja Melayu yang tidak boleh disangkal.

Dalam wawancara bersama Sinar Harian, Pakar Undang-undang dan Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar mengupas dengan lebih mendalam berhubung fungsi sebenar Yang di-Pertuan Agong yang sebelum ini hanya dilihat sebagai simbol perpaduan.

Khairil Azmin juga akan memperincikan beberapa perkara yang sering dibangkitkan akhir-akhir ini berkaitan prorog Parlimen, darurat dan kepentingan Belanjawan 2021 diluluskan oleh Ahli Dewan Rakyat.

Ikuti temu bual Penolong Pengarang Pengisian Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa, wartawan Hasniza Hussain dan jurufoto Asril Aswandi Shukor bersama Khairil Azmin di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

SINAR HARIAN: Apa yang kita boleh belajar daripada peristiwa, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak permohonan darurat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru-baru ini?

KHAIRIL AZMIN: Apabila perisytiharan darurat telah dipohon oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Yang di-Pertuan Agong mengambil langkah menangguh dahulu keputusan kerana mahu berbincang dengan Majlis Raja-raja, saya lihat keputusan itu diambil secara syura ataupun kolektif.

Selain itu, kita juga dapat melihat bahawa keputusan-keputusan yang penting walaupun nasihatnya datang daripada Perdana Menteri, pandangan Duli-duli Tuanku wajar diambil kira dan ini selari dengan konsep Raja Berperlembagaan.

Apa yang kita dapat belajar daripada episod yang berlaku baru-baru ini ialah rakyat baru sedar bahawa selain daripada simbol perpaduan, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu mempunyai kuasa dan tanggungjawab di bawah Perlembagaan yang bersifat realistik dan penting.

Yang memerintah negara adalah kerajaan Malaysia yang dipilih rakyat, namun begitu Yang di-Pertuan Agong dan juga raja-raja adalah ketua negara dan ketua-ketua negeri masing-masing. Walaupun ketua negara tidak mempunyai banyak kuasa namun mempunyai peranan penting dalam pemerintahan dan kerajaan selain daripada sebagai simbol perpaduan.

Apakah asas mereka yang menyokong darurat dan apakah alasan mereka yang mempersoalkan kewajarannya?

Adakah darurat itu wajar diisytiharkan, ini bagi saya bergantung kepada keadaan dan keperluan semasa.

Dari perspektif Perlembagaan, Perdana Menteri boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong membuat perisytiharan darurat. Itu adalah satu kuasa eksekutif selari dengan Perkara 39 dan 40 Perlembagaan Persekutuan. Keputusan kerajaan sama ada untuk meminta darurat diisytihar atau tidak adalah subjektif.

Sebelum Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membuat proklamasi darurat, tentunya Perdana Menteri sudah berbincang dengan pakar-pakar ekonomi, keselamatan dan penjawat awam dan mengambil kira pandangan mereka.

Bukanlah perkara yang ganjil jika ada orang yang bersetuju dan ada orang tidak setuju. Mungkin ada orang berpendapat bahawa tidak ada keperluan untuk proklamasi darurat, cukup dengan kuasa-kuasa yang ada. Sudah tentu ada berpendapat sebaliknya.

Apakah sebenarnya kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub dalam Perlembagaan?

Kuasa dan fungsi Yang di-Pertuan Agong serta Raja-raja Melayu sebenarnya amat banyak dan boleh dibahagikan kepada tiga kategori. Pertama sekali, Yang di-Pertuan Agong melaksanakan tugas mengikut nasihat Perdana Menteri atau ahli Jemaah Menteri menurut Perkara 40 Perlembagaan.

Keduanya, fungsi yang dilaksanakan mengikut nasihat bukan daripada Perdana Menteri tetapi daripada pihak lain. Contohnya dalam membuat keputusan berkaitan pengampunan bagi kes jenayah.

Di sini Yang di-Pertuan Agong atau Sultan atau Yang di-Pertua Negeri akan membuat keputusan berdasarkan keputusan Majlis Pengampunan, sementara sebagai ketua agama Islam pula Yang di-Pertuan Agong akan mengikut nasihat yang diberikan oleh Majlis Agama Islam Negeri-negeri yang mana Seri Paduka menjadi ketua agama Islam seperti ketua agama Islam untuk Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Kategori seterusnya ialah fungsi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu jalankan mengikut budi bicara atau kuasa prerogatif mereka. Konsep Raja Berperlembagaan mengiktiraf bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu mempunyai prerogatif dalam keadaan tertentu untuk membuat keputusan tanpa mengikut nasihat kerajaan, atau berdasarkan pendapat atau kemahuan Seri Paduka sendiri.

Kuasa prerogatif ini juga diberikan kepada semua ketua-ketua negara lain di dunia, cuma skopnya berbeza antara sebuah negara dengan negara lain.

Antara fungsi Yang di-Pertuan Agong dalam Perlembagaan adalah untuk menerima atau tak menerima permohonan membubarkan Parlimen dan DUN dan berkaitan pemilihan Perdana Menteri, memberi gelaran dan bintang, sebagai ketua turus angkatan tentera, melantik peguam negara dan hakim.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu juga pihak tertinggi yang memastikan hak keistimewaan orang Melayu dipelihara serta memastikan kepentingan orang asal dari Sabah dan Sarawak dipelihara dan banyak lagi.

Susulan kemelut politik tanah air yang berlaku, ramai mencadangkan untuk Yang di-Pertuan Agong memprorog (menangguh) Parlimen. Apakah itu penyelesaian terbaik?

Parlimen mempunyai jangka hayat, maksimum tidak boleh lebih lima tahun. Dalam tempoh itu hayat Parlimen akan dibahagikan mengikut penggal, biasanya satu tahun ada satu penggal. Jadi satu penggal mewakili satu tahun dibahagikan kepada tiga mesyuarat.

Antara satu mesyuarat ke mesyuarat lain akan ada masa lapang. Dari satu penggal ke penggal lain maka Parlimen akan diprorog. Apabila Parlimen diprorog, maka semua urusan Parlimen akan berhenti terus.

Semua rang undang-undang, bil yang dijadualkan perlu dibentangkan sekali lagi bila penggal baru bermula. Biasanya, pada penghujung tahun antara yang paling penting ialah rang-rang undang yang perlu diluluskan adalah belanjawan.

Belanjawan mesti diluluskan sebelum tahun akan datang kerana kerajaan hanya boleh membelanjakan duit apabila Parlimen memberi kelulusan. Ini adalah konsep Parlimen demokrasi. Duit rakyat hanya boleh dibelanjakan selepas mendapat persetujuan atau kebenaran Dewan Rakyat.

Pihak eksekutif, jemaah menteri, semua kementerian dan penjawat awam hanya boleh menjalankan tugas bila ada duit. Duit digunakan kerajaan setelah mendapat kebenaran daripada Parlimen.

Belanjawan ini juga meliputi gaji kakitangan awam dan semua belanja. Justeru belanjawan perlu diluluskan pada tahun ini, supaya duit dapat digunakan pada tahun depan.

Masalah akan timbul jika Parlimen diprorog sekarang, kerana belanjawan tak dapat diluluskan oleh Dewan Rakyat. Jadi mahu tidak mahu, Parlimen perlu bersidang untuk meluluskan belanjawan.

Dalam keadaan manakah tindakan dan keputusan Seri Paduka boleh dicabar di mahkamah?

Pertama sekali tentang membawa Yang di-Pertuan Agong ke mahkamah perlu dilihat ia dilakukan atas dasar apa.

Apabila Yang di-Pertuan Agong buat keputusan berdasarkan nasihat kerajaan, maka ia boleh dibawa ke mahkamah. Tapi yang dibawa ke mahkamah adalah kerajaan Malaysia.

Tetapi apabila Yang di-Pertuan Agong menggunakan budi bicara ia tidak boleh dibawa ke mahkamah.

Contohnya, dalam membuat pemilihan Perdana Menteri sebab itu hak prerogatif, selagi mana Seri Paduka membuat keputusan dengan mengikut syarat dan ketetapan maka ia tak boleh dipertikaikan.

Ini kerana Perlembagaan sudah memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan berdasarkan pemerhatiannya.

Tambahan pula mengenai perisytiharan darurat di mana Perkara 150(8)(b) menyatakan bahawa tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai kesahan proklamasi dan kuat kuasa berterusan proklamasi darurat.

Berkenaan kedudukan dan penglibatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu dalam pentadbiran kerajaan, kita perlu faham mereka ada banyak tugas antaranya memastikan bahawa Islam terpelihara, orang Melayu tak dianiaya atau menjadi melukut di tepi gantang di negara sendiri. Ini adalah fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.

Apabila tuanku-tuanku menggunakan kuasa atau meminta kerajaan bertindak, contohnya memberi kuota kepada orang Melayu atau orang asal Sabah Sarawak, maka ini sebenarnya adalah tanggungjawab dan tidak boleh dikatakan bahawa campur tangan dalam urusan kerajaan sebab dalam Perlembagaaan terang-terang menyatakan adalah tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu untuk memelihara Islam dan orang Melayu.

Dalam suasana politik Malaysia yang tidak stabil dan majoriti tipis apakah tugas Yang di-Pertuan Agong pada masa depan akan lebih mencabar dan institusi raja harus memainkan peranan lebih besar?

Saya berpendapat semakin hari keadaan semakin maju tapi masalah menjadi semakin kompleks. Tugas ketua negara yang diamanahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu dijangka semakin berat dan mencabar.

Kebiasaanya Yang di-Pertuan Agong dan Sultan-sultan Melayu melaksanakan tugas melantik ketua kerajaan tanpa banyak masalah atau kontroversi kerana keadaan politik yang agak stabil.

Tetapi dalam senario sekarang, terutamanya selepas PRU 2018 timbul masalah untuk memilih ketua kerajaan lebih-lebih lagi apabila Dr Mahathir meletakkan jawatan dengan mengejut.

Berlaku episod politik yang kita tidak pernah alami di peringkat nasional dan ketika itu dapat disaksikan sukarnya tugas ketua negara untuk menentukan siapa yang berhak membentuk kerajaan dan sulitnya untuk memenuhi permintaan pelbagai parti dan pihak.

Kesimpulannya ialah sama ada sukar atau tidak tugas ketua negara adalah bergantung kepada senario politik.

Saya yakin tuanku-tuanku boleh menangani cabaran kerana institusi beraja bukan wujud baru 10 ke 20 tahun.

Khairil Azmin (kanan) ketika ditemubual Sinar Ahad di Kumpulan Karangkraf baru-baru ini.
Khairil Azmin (kanan) ketika ditemubual Sinar Ahad di Kumpulan Karangkraf baru-baru ini.

Saya pernah ditanya oleh seorang profesor Perlembagaan dari England, mengapa Malaysia mengekalkan monarki? Jawapan saya ringkas, mengapa UK/England kekalkan monarki?

Saya kata Malaysia baru mendapat kemerdekaan pada 1957 dan Kesultanan Melayu menjadi tonggak asas bukan saja kepada sistem politik Melayu tapi adat kebudayaan Melayu. Selain itu, boleh dilihat betapa pentingnya peranan raja dalam institusi Melayu.

Untuk mengekalkan integriti serta kredibiliti kepada institusi raja-raja, sudah sewajarnyalah institusi ini perlu mengambil kira bahawa rakyat sentiasa melihat tindakan, perbuatan dan kehidupan raja-raja dan saya rasa Tuanku sudah tentu maklum dan akur bahawa rakyat dan raja berpisah tiada.

Sebagai pakar Perlembagaan, bagaimana Perlembagaan kita yang kini sudah berusia 63 tahun?

Perlembagaan adalah undang-undang ciptaan manusia, sudah tentu tidak lengkap. Namun begitu, ia boleh disesuaikan dengan keadaan dan zaman, namun pada asasnya kita ada Perlembagaan yang agak baik.

Ada negara yang masih belum ada Perlembagaan yang kekal, ada juga negara walaupun membuat perlembagaan baharu, namun tiada persetujuan hingga berlaku rampasan kuasa, pemerintahan tentera dan sebagainya.

Perlembagaan sedia ada di negara kita ini dilihat masih utuh dan relevan. Jika ada keperluan maka pindaan juga boleh dibuat. Perlembagaan kita boleh dipinda mengikut syarat ditetapkan.

Demi keharmonian kaum dan agama jangan ada sesiapa yang mempertikaikan asas Perlembagaan yang sudah dipersetujui seperti kedudukan Raja-raja Melayu, status Islam dan orang Melayu sebagai Bumiputera, dan hak asasi semua orang tanpa mengira agama dan bangsa untuk hidup aman damai.

Beza Agong dan Ratu England

Boleh saya simpulkan sistem beraja kita dengan yang diamalkan di England sebagai serupa tapi tak sama. Ia serupa dalam erti kata kita mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan di UK juga menggunakan sistem sama. Malah Thailand, Sweden, Sepanyol, Jepun juga mengamalkan sistem raja berperlembagaan.

Gelaran raja, maharaja, Yang di-Pertuan Agong itu serupa merujuk kepada institusi diraja tetapi apabila kita lihat pada tugas, fungsi atau kuasa raja dalam setiap negara lain dan cara pemilihan juga berbeza.

Kita tidak boleh buat persamaan secara mutlak antara Raja atau Ratu England dengan Yang di-Pertuan Agong.

Pertama sekali, contohnya di England atau UK mereka mengamalkan konsep Parlimen sebagai hak institusi yang tertinggi dan Parlimen boleh buat apa saja undang-undang dan ia tak boleh dibatalkan langsung oleh mahkamah.

Berbeza dengan Malaysia kerana kita mengamalkan sistem doktrin ketinggian perlembagaan iaitu Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi.

Oleh itu, Parlimen tiada hak jika tidak diberi kuasa oleh Perlembagaan untuk membuat undang-undang dalam satu perkara. Ada perkara diserahkan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) sebab ia hak milik negeri.

Hak eksklusif negeri dan negeri ada hak untuk membuat undang-undang tertentu.

Di situ konsep ini amat berbeza dengan yang diamalkan di UK iaitu ketinggian Parlimen untuk buat apa sahaja undang-undang, manakala di Malaysia amalkan ketinggian Perlembagaan.

Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi dan Parlimen bukan tertinggi tapi sama dengan badan eksekutif dan legislatif. Itu adalah satu perbezaan ketara dan jelas.

Kedua, semua Perlembagaan di dunia adalah istimewa. Tidak ada Perlembagaan yang sama dengan negara lain.

Perlembagaan Malaysia didraf dan dibuat berdasarkan budaya, sejarah, agama, tradisi dan komposisi masyarakat di Malaysia. Sementara sejarah, budaya dan tradisi di United Kingdom berbeza.

Contoh, di UK mereka ada Perlembagaan tidak bertulis yang terdiri daripada pelbagai sumber bukan saja akta diluluskan Parlimen tetapi dokumen-dokumen sejarah seperti Magnacarta, Bill of Rights.

Itu adalah sebahagian Perlembagaan tidak bertulis England. Perlembagaan diamalkan di UK sudah tentu berdasarkan sejarah masyarakat, agama dan budaya di sana.

Profil:

Khairil Azmin Mokhtar

Tarikh lahir: 4 Oktober 1969

Asal: Melaka

Isteri: Rahimah Razali

Anak: 7 Orang

Prinsip Hidup: Mencari Keredhaan ALLAH

Pendidikan:

Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Sarjana Undang-Undang Perbandingan, UIAM

Doktor Falsafah University of Wales, Aberystwyth, United Kingdom

Kerjaya: Pensyarah Universiti

Jawatan: Professor Madya


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!