Belanjawan 2021 untungkan rakyat

A
A
A

PENINGKATAN kes positif koronavirus (Covid-19) secara mendadak amat mencemaskan. Dalam tempoh sebulan lalu, Malaysia mencatat hampir 20,000 kes positif baharu berbanding 10,576 kes dalam tempoh enam bulan sebelumnya.

Jumlah keseluruhan kes positif setakat 30 Oktober 2020 adalah sebanyak 30,090 kes dengan 246 kematian. Rekod menunjukkan setakat ini Sabah mencatat jumlah kes tertinggi sebanyak 13,701 kes.

Negeri lain yang mencatatkan lebih 1,000 kes ialah Selangor (4,360), Kuala Lumpur (2,991), Kedah (2,080) dan Negeri Sembilan (1,516). Peningkatan kes menuntut kita agar berfikiran proaktif untuk melihat masa hadapan.

Selagi belum ditemui vaksin atau ubat penawar, maka satu dunia masih menjalani kehidupan yang terikat dengan prosedur operasi standard (SOP). Covid-19 mengubah gaya hidup dan memberi kesan ekonomi yang hebat.

Dijangka lebih 80,000 kehilangan pekerjaan atau mengalami kerugian dan menutup perniagaan, namun golongan B40 adalah antara kelompok terkesan perlu dibantu, dibela nasib dan kehidupan mereka.

Sehubungan itu, kerajaan akan membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada 6 November ini yang akan menyediakan pelbagai peruntukan kepada agensi kerajaan, bantuan kepada rakyat dan insentif kepada sektor korporat, industri serta perniagaan bagi menghadapi Covid-19.

Diharap kerajaan mengumumkan inisiatif yang bakal meringankan beban ditanggung oleh mereka yang terjejas bagi menghadapi masa sukar ketika ini.

Semua pihak berharap pembentangan Belanjawan 2021 memberi sinar harapan untuk peluang pemulihan ekonomi. Bantuan dan pakej rangsangan ekonomi mestilah menjadi agenda utama, selain usaha menentukan keselamatan negara.

Artikel Berkaitan:

Sudah tentu tumpuan ke arah usaha pemulihan dan merangka strategi ekonomi yang lebih mampan serta utuh.

Selain usaha berterusan memerangi Covid-19, kerajaan perlu mengorak langkah berstrategik supaya rakyat boleh menjalani kehidupan seperti biasa, boleh bersekolah, bekerja dan berniaga.

Kerajaan perlu membuktikan mereka benar-benar prihatin, maka Belanjawan 2021 mestilah menguntungkan rakyat. Norma baharu menyebabkan media sosial dan liputan internet menjadi keutamaan dalam kehidupan masa kini.

Memang tidak dinafikan, rakyat kini banyak bergantung kepada kemudahan internet untuk urusan jual beli, pekerjaan dan pelajaran.

Internet

Apatah lagi, beberapa negeri masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyebabkan banyak urusan tersekat.

Tiada lagi perjumpaan secara fizikal. Sekolah dan institusi pendidikan tinggi masih menggunakan pendidikan jarak jauh dan secara atas talian.

Namun, perlu diberikan perhatian bahawa masih banyak kawasan yang menghadapi masalah rangkaian dan liputan internet.

Bukan sahaja di luar bandar, kawasan bandar juga masih ‘tercari-cari’ liputan yang menyebabkan ada anak-anak terpaksa ‘mengejar’ liputan internet untuk belajar.

Maka, usaha meningkatkan kemudahan infrastruktur terutama kemudahan digital untuk rakyat mesti menjadi agenda utama dalam pembentangan Belanjawan 2021.

Pihak yang bertanggungjawab diharap merancang pembinaan infrastruktur digital terutama pada peringkat negeri dan kerajaan tempatan.

Kita juga berharap agar semua ahli Parlimen dapat mengetepikan perbezaan politik untuk memastikan Belanjawan 2021 diluluskan demi kepentingan rakyat dan negara.

Yang penting, semua pihak meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala kepentingan lain. Belanjawan 2021 mestilah menguntungkan dan mensejahterakan rakyat.

Ia seiring dengan seruan Yang di-Pertuan Agong supaya wujudnya satu bentuk persefahaman dalam kalangan ahli Parlimen untuk membolehkan Belanjawan 2021 diluluskan dengan sokongan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Kita juga berharap agar pemerintah memberi jaminan akan terus mencari jalan terbaik bagi mengurus krisis besar yang sedang dihadapi ketika ini.

Matlamat kita adalah jelas iaitu untuk menang dalam melawan Covid-19 dan memastikan keselamatan serta kebaji-kan rakyat sentiasa terbela.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara