Covid-19: Rakyat perlu waspada, bendung peningkatan kes

Rakyat di negara ini diingatkan supaya sentiasa berwaspada bagi membendung peningkatan kes jangkitan Coivid-19 semasa musim perayaan Aidilfitri ini. - Gambar hiasan
Rakyat di negara ini diingatkan supaya sentiasa berwaspada bagi membendung peningkatan kes jangkitan Coivid-19 semasa musim perayaan Aidilfitri ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat di negara ini diingatkan supaya sentiasa berwaspada bagi membendung peningkatan kes jangkitan Coivid-19 semasa musim perayaan Aidilfitri ini.

Berdasarkan portal rasmi KKMNOW, setakat 8 April lepas, negara mencatatkan sejumlah 7,643 kes baharu dalam tempoh 14 hari melibatkan beberapa negeri dengan Selangor antara yang merekodkan kes tertinggi iaitu 2,283 diikuti Kuala Lumpur (1,609) dan Melaka (865).

Mengambil kira situasi semasa Covid-19 itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, masyarakat masih perlu mengamalkan langkah berjaga-jaga berikutan jumlah kes dijangka meningkat khususnya menjelang Syawal.

Dr Zainal Ariffin yang juga Penasihat Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia berkata masyarakat harus waspada dengan virus Covid-19 terutamanya varian baharu XBB yang boleh menjejaskan kesihatan dan menyebabkan kematian.

"Langkah pencegahan seperti memakai pelitup muka, mengelakkan tempat sesak, mengambil ujian Covid-19 dan menjadualkan kuarantin kendiri jika didapati positif perlu dipraktikkan oleh orang ramai,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut menasihati mereka yang berisiko supaya melengkapkan suntikan vaksin seperti yang telah disyorkan oleh Kementerian Kesihatan bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Kes aktif Covid-19 yang direkodkan KKM sehingga kini adalah sebanyak 13,283 kes dengan 96.2 peratus daripadanya merupakan kes yang dibenarkan kuarantin di rumah manakala selebihnya menerima rawatan di hospital berdekatan.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman mengingatkan rakyat Malaysia supaya berhati-hati ketika menyediakan makanan menjelang musim perayaan ini bagi mengelakkan sebarang risiko keracunan makanan.

Menurutnya, masyarakat juga perlu mengelakkan pengambilan karbohidrat yang tidak diperlukan seperti pengambilan minuman bergula berlebihan atau makanan yang kaya karbohidrat kerana ia kurang baik untuk kesihatan.

"Ambil makanan seimbang serta elakkan pengambilan garam atau lemak berlebihan dan janganlah kita perolok-olokkan pula mereka yang cuba mengamalkan pemakanan sihat.

"Pastikan jumlah air yang diperlukan tubuh badan mencukupi serta dapatkan rehat dan tidur yang cukup, terutama bagi mereka yang memerlukan pemanduan jarak jauh,” katanya. - Bernama