Felda United, UKM FC belum mengalah

Afizal Abu Othman
Afizal Abu Othman
A
A
A

PENGURUSAN baharu Felda United, FUFC The Fighters Sdn Bhd dan UKM FC (Varsity Boys) akan mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memberikan kedua-dua entiti tersebut masa mengemukakan dokumen-dokumen penswastaan seperti disyaratkan badan induk bola sepak negara itu.

Menurut Pengarah FUFC The Fighters Sdn Bhd, Afizal Abu Othman, rayuan berkenaan telah pun dihantar semalam sejurus menerima makluman daripada FAM yang mengatakan skuad The Fighters tidak layak menyertai liga anjuran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) setelah gagal dalam penswastaan kelab bola sepak (FC) bersyarikat.

Menurut Afizal, pihaknya pada masa ini hanya menunggu maklum balas daripada badan induk bola sepak negara itu.

“Kita rasa mungkin dokumen yang kita hantar itu tidak cukup untuk menjamin bahawa pelabur baharu untuk ambil alih pasukan.

“Kami bukan seperti pasukan lain iaitu dari Persatuan Bola Sepak Negeri ke Kelab Bola Sepak. Dana pun kami perolehi daripada pihak Felda tetapi mereka (Felda) kata dah tak bagi kami dana, jadi kami kena cari sendiri pelabur yang baharu dan dalam keadaan sekarang ia bukan satu perkara yang mudah

“Dokumen yang kami berikan itu pun tak cukup kuat, jadi kami minta, kami rayu agar FAM dapat pertimbangkan rayuan supaya kami dapat sediakan lagi dokumen-dokumen sokongan daripada syarikat, penaja yang ada sebagai sokongan untuk mengharungi cabaran tahun hadapan,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.

FAM sebelum itu memutuskan untuk tidak membenarkan Felda United FC dan UKM FC menyertai saingan Liga-M 2021 setelah kedua-dua pasukan itu gagal memenuhi syarat penswastaan kelab bola sepak (FC) bersyarikat.

Menurut FAM, badan induk bola sepak negara itu mendapati kedudukan kewangan pelabur baharu untuk menampung perbelanjaan kedua-dua pasukan berkenaan tidak kukuh sekali gus memaksa FAM membuat keputusan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Keputusan tidak membenarkan kedua-dua pasukan berkenaan menyertai sama ada Liga Super atau Liga Premier pada musim depan turut mengambil kira kebimbangan berkaitan bayaran gaji kepada pemain dan pegawai.

“Untuk makluman, FAM telah mengambil proses ini dengan serius bagi memberi peluang kepada kedua-dua pasukan berkenaan mendapatkan pelabur yang baharu dalam memastikan kebajikan pemain dan pegawai pasukan dapat dijamin,” jelas FAM dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, UKM FC pula mengesahkan akan mengemukakan rayuan dengan mengadakan pertemuan bersama pihak FAM dalam masa terdekat.

Menurut wakil pengurusan yang tidak mahu dinamakan, pertemuan berkenaan juga akan disertai wakil syarikat berkenaan yang akan membentangkan penyata kewangannya bagi mengendalikan UKM FC kelak.

“Kami memang nak bersemuka sendiri dengan FAM dengan membawa sekali pihak syarikat yang mahu bekerjasama dengan Varsity Boys,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, kedua-dua pasukan berkenaan berhak untuk mengemukakan rayuan masing-masing.

Bagaimanapun jelasnya, sebarang keputusan mengenainya hanya akan diputuskan pihak jawatankuasa yang mengendalikan perkara berkenaan.