Situasi ceria untuk 'frontliners', penghuni Plaza Hentian Kajang

Penghuni ceria apabila nampak petugas Jabatan Penerangan Daerah Hulu Langat.
Penghuni ceria apabila nampak petugas Jabatan Penerangan Daerah Hulu Langat.
A
A
A

KAJANG - Jabatan Penerangan Daerah Hulu Langat mencipta kelainan dalam menyampaikan maklumat antaranya memasang pelbagai lagu bagi menghiburkan 'frontliners' serta penghuni di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Plaza Hentian Kajang.

Menurut kenyataan di Facebook Pusat Maklumat Rakyat Jabatan Penerangan Daerah Hulu Langat, hebahan yang dibuat itu adalah untuk menyampaikan maklumat penting dari masa ke masa berhubung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Selain itu, kita dapat membantu mengurangkan tekanan 'frontliners' ketika melaksanakan tugas. Hiburan itu juga dapat memberi kesan perubahan tingkah laku, selain mewujudkan suasana lebih ceria," katanya.

Menurut kenyataan itu, kaedah tersebut pernah digunakan ketika PKPD Sungai Lui pada Mac lalu.

"Penghuni di kawasan PKPD Plaza Hentian Kajang memberi respon positif terhadap usaha yang dilaksanakan. Ada penduduk yang menari, goyang badan dan tak kurang juga tersenyum apabila mendengar lagu yang dipasang," katanya lagi.

Kenyataan itu turut memaklumkan, pada malam Maulidur Rasul, Khamis lalu, Jabatan Penerangan Daerah Hulu Langat telah memasang lagu-lagu ketuhanan dan selawat.

Seorang penghuni, Nurnazreena Nazam Suhaimi berkata, dia hilang rasa takut ketika menjalani saringan Covid-19 apabila mendengar lagu yang dipasang oleh Jabatan Penerangan Daerah Hulu Langat.

"Terima kasih semua yang terlibat dan berkhidmat di PKPD Hentian Kajang kerana buat suasana yang sunyi jadi ceria," katanya di Facebook.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Plaza Hentian Kajang bermula Rabu lalu hingga 10 November, susulan peningkatan kes positif di kawasan itu.

Beliau memaklumkan seramai 7,500 penduduk di kawasan berkenaan terlibat.