X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: OKU Sarawak mohon bantuan kerajaan

Foto 123RF
A
A

KUCHING - Pengusaha premis urut, tukang urut dan pemuzik jalanan (buskers) dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan di daerah Kuching memohon kerajaan membantu meringankan beban mereka selepas pendapatan golongan itu terjejas teruk akibat penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Cawangan Sarawak Isak Ngau berkata, keadaan OKU ini menjadi semakin sulit apabila daerah ini kembali menjadi zon merah untuk kali kedua sejak 28 Okt lepas yang menyebabkan kerajaan mengarahkan penutupan semua pusat urut.

"Pendapatan mereka agak memuaskan sebelum wabak Covid-19, namun menjunam bila pandemik menular. Tanpa pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami tetap menanggung kos sara hidup keluarga yang tinggi pada masa kini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Isak yang mengusahakan kedai urut di sebuah pusat beli-belah di sini berkata, terdapat 17 kedai urut di bandar raya Kuching dan Miri diusahakan oleh lebih 80 OKU yang berdaftar dengan pertubuhan itu.

Beliau mencadangkan kerajaan memberi insentif khas kepada majikan yang menggaji OKU dan juga kepada pekerja-pekerja OKU serta bantuan makanan keperluan bagi yang terjejas dan tidak dapat keluar kerana Kuching kini berstatus zon merah.

Selain itu, Isak juga meminta supaya bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat ditambah bagi membantu golongan OKU ini dan bantuan kewangan sekali bayar RM500 diperkenalkan oleh kerajaan untuk membantu OKU.

"Harapan saya agar kami, majikan dan pekerja OKU yang lain diberi perhatian oleh kerajaan Persekutuan dan negeri dan bantuan yang diberikan haruslah merangkumi semua jenis perniagaan termasuk pusat urut," katanya.

Beliau juga berharap agar Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) kerajaan negeri bernilai RM250 sebulan dapat dilanjutkan selama enam bulan lagi bagi membantu golongan B40, lebih-lebih lagi golongan OKU untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Saranan beliau itu turut disokong oleh Presiden Persatuan Anak Istimewa Sarawak (Perais) Rapelson Richard Hamit yang berkata, pihak kerajaan wajar memberi perhatian kepada majikan dan pekerja golongan OKU yang terbatas sumber pendapatan mereka.

"Golongan OKU sewajarnya diberi perhatian dan bantuan kerana penularan wabak Covid-19 dan PKP yang bermula Mac lepas menyebabkan ramai OKU hilang pekerjaan dan punca pendapatan,” katanya dalam satu kenyataan berasingan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!