Pandemik dan infodemik

No Image Caption
A
A
A

PANDEMIK koronavirus (Covid-19) kini memporak-perandakan dunia. Namun, ada satu lagi pandemik yang tidak kurang bahayanya, malah lebih pantas dan mudah tersebar iaitu pandemik maklumat dan berita palsu atau fisenut infodemik. Penyebaran fakta palsu yang digelar infodemik koronavirus boleh mencetuskan panik, malah boleh membunuh.

Iran pernah berdepan dengan petaka infodemik yang parah apabila tersebar maklumat mengambil methanol – bahan toksid dalam bentuk arak, kononnya boleh membunuh koronavirus. Akibatnya, ia telah menyebabkan sebanyak 700 kematian dan 5,000 orang dimasukkan ke hospital.

Media sosial, sungguhpun tidak diberi perhatian serius berbanding media arus perdana, namun ia boleh tersebar kepada jutaan pembaca dengan pantas. Ia boleh menjadi penyebab kepada wabak koronavirus merebak melalui maklumat palsu.

Analisis kandungan media sosial dari seluruh dunia yang diterbitkan dalam tiga bulan tahun ini telah mengesan lebih 2,300 laporan dari 87 negara yang menyebar berita angin, stigma dan teori konspirasi berkaitan Covid-19.

Pada Mac lalu, potensi infodemik Covid-19 telah mendorong Facebook, Google, LinkedIn, Microsoft, Reddit, Twitter dan YouTube bersepakat untuk memerangi informasi palsu dan maklumat salah mengenai virus covid-19. Bagaimanapun, bukan mudah menyekat penyebaran infodemik iaitu berita palsu dalam kalangan pengguna media sosial.

Pada peringkat awal Covid-19 tercetus, penyebaran informasi palsu dan salah segera cuba diatasi dengan amaran daripada pihak rasmi dan pakar yang menggalakkan orang awam mendapatkan maklumat daripada akhbar dan saluran telivisyen rasmi.

Namun, saluran rasmi juga terdedah kepada pandemik berita palsu. Apabila berita yang disiarkan tidak disemak semula dan dilakukan semak fakta secara teliti terhadap kenyataan yang dikeluar oleh ahli politik dan tokoh awam, natijahnya kekeliruan berlaku.

Perdana Menteri United Kingdom (UK), Boris Johnson suatu ketika berterusan bersalaman dengan orang ramai tatkala kemuncak Covid-19 tetapi pihak media tidak menunjukkan tindakan itu berbahaya. Media tidak berasa bertangungjawab menunjukkan kesalahan PM British itu.

Artikel Berkaitan:

Menyemak kredibiliti sesuatu maklumat perlu dilakukan oleh pihak media. Jika salah maklumat tersebar, amat sukar untuk memperbaiki kerosakan yang tersebar kepada jutaan orang.

Sikap pengguna yang suka menyebar maklumat palsu melalui Facebook sangat berbahaya apabila dikongsi, disukai atau dikomen oleh jutaan pembaca tanpa menyemak kesahihan sesuatu berita.

Kegagalan saluran media menapis maklumat dengan teliti dalam krisis pandemik amat berbahaya. Media yang tidak boleh dipercayai boleh merumitkan masalah dan mencetuskan spekulasi yang tidak sihat, malah panik di luar kawalan.

Ambil contoh, kes kajian vaksin Bacillus Calmette–Guérin (BCG) untuk melindungi daripada Covid-19. Hasil kajian disiarkan walaupun belum disemak secukupnya. Tanpa diperhalusi terlebih dahulu oleh pakar, ia dilaporkan oleh media seolah-olah vaksin Covid-19 telah ditemui.

Media lebih berminat melaporkan dengan tajuk yang sangat sensasi dan kabur. Orang ramai cepat percaya kepada berita sensasi.

Dalam kes tersebut, Badan Kesihatan Dunia (WHO) menjelaskan tiada bukti BCG boleh menghalang jangkitan Covid-19.

Kelemahan media yang sepatutnya membantu mengatasi pandemik Covid-19 perlu diberi perhatian serius. Saluran media perlu mencabar pelbagai dakwaan ahli politik yang suka mensensasikan maklumat. Media perlu mengingatkan masyarakat supaya mendapatkan sumber maklumat yang sah.

Sebagai pengguna media, infodemik boleh dibanteras dengan mendidik diri supaya meneliti bagaimana maklumat itu diperoleh dan disebarkan. Kita perlu mengelak daripada mengamalkan tabiat copy and paste sebelum maklumat disahkan.

Tidak kira besar atau kecil usaha kita, setiap langkah ke arah tujuan yang benar akan memberi kesan yang signifikan. Setiap ikhtiar akan diperhitungkan untuk memerangi Covid-19 dan infodemik yang tersebar.

Kita bukan setitik dalam lautan tetapi kita adalah lautan dalam setitik.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu