'Ada ke lagi orang nak panggil saya menyanyi?'

Aida
Aida
A
A
A

JOHOR BAHRU - "Sebenarnya saya sedia kalau ada orang panggil (menyanyi), tapi ada ke orang nak panggil lagi.

Itu luahan Aida Agil, 64, yang pernah popular di era awal tahun 90-an lalu dengan lagu hitsnya, Segalanya Pasti, selain lagu duet dengan Roy, Biarlah Kita Bersendirian.

Malah, lagu Segalanya Pasti nyanyian penyanyi kelahiran Johor Bahru berusia 64 tahun itu juga seringkali menjadi pilihan untuk dinyanyikan dalam pertandingan-pertandingan nyanyian seperti Gegar Vaganza, Bintang RTM dan sebagainya.

Bagaimanapun, kunjungan Sinar Harian ke kediamannya di Kampung Dato Sulaiman Menteri, baru-baru ini mendapati penyanyi berkenaan lebih banyak menghabiskan masa di rumah dan seolah-olah mahu menyepikan diri daripada industri seni.

Ditanya berhubung perkembangan terkininya, Aida berkata, dia banyak menghabiskan masa di rumah, kerana sudah agak lama tidak menerima undangan 'show' seperti sebelum ini.

Tidak cukup dengan itu, katanya, dia juga sering berulang balik ke Klinik Ke Kesihatan Kampung Melayu Majidee bagi tujuan rawatan susulan.

"Lima tahun dulu saya pernah jatuh, teruk juga sebab masuk longkang dan sebab itulah dah tak boleh bergerak bebas macam dulu-dulu.

"Macam awak (wartawan) tengok sekarang, saya berjalan pun pakai (tongkat), pergi klinik pun duduk atas kerusi roda, mujurlah ada adik saya ada bantu.

"Macam inilah hidup saya sekarang. Kalau nak tahu saya juga menghidap diabetes," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Aida, dia kini hanya tinggal di rumah tanpa berbuat apa-apa susulan keadaan kakinya yang tidak mengizinkannya untuk bergerak bebas.

Aida berkata, dia menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

Aida berkata, dia banyak menghabiskan masa di rumah, kerana sudah agak lama tidak menerima undangan 'show' seperti sebelum ini.
Aida berkata, dia banyak menghabiskan masa di rumah, kerana sudah agak lama tidak menerima undangan 'show' seperti sebelum ini.

"Dulu saya hidup dalam dunia glamour, tapi sekarang hanya duduk diam di rumah dan menjadi penerima bantuan JKM.

"Mujurlah, saya ada adik-adik di sisi yang sering membantu," katanya yang merupakan anak kedua daripada 11 beradik itu.

Aida yang pernah berkahwin, namun tidak dikurniakan cahaya mata berkata, kali terakhir dia menyanyi di hadapan orang ramai adalah sekitar 2021 atau 2022 lalu ketika diundang menyertai showcase Awang BPR di Johor Bahru.

Katanya, showcase berkenaan turut menghimpunkan ramai artis-artis lain yang pernah popular dengan lagu-lagu ciptaan Awang BPR.

"Sebelum ini kalau tak silap saya dalam tahun 2021 atau 2022 saya pernah join satu showcase dengan Awang BPR..ramailah artis yang join.

"Seronok tu memang seronok..sebab kami pun dah lama tak jumpa, tapiitulah kali terakhir saya menyanyi di depan orang ramai," katanya.

Ujarnya, terlalu banyak kenangan manis dan pahit untuk diceritakannya sepanjang bergelar penyanyi.

Katanya, kesemua perkara akan menjadi kenangan yang tidak akan dilupakannya di sepanjang hayat.

"Nak cerita pasal pahit manis ni banyak sangat, saya pun tak berapa ingat dah.

"Selain kenangan indah, ada juga kenangan pahit seperti pernah kena tipu oleh promoter show (tak dibayar) dan sebagainya.