Piala Malaysia tanpa Sabah

Sabah antara pasukan yang mewarnai saingan Liga Malaysia musim ini. -Foto: PJ City FC
Sabah antara pasukan yang mewarnai saingan Liga Malaysia musim ini. -Foto: PJ City FC
A
A
A

SABAH terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi dalam saingan TM Piala Malaysia yang bakal membuka tirai pada 6 November ini, akibat pandemik Covid-19 yang masih ‘mengganas’ di negeri berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan yang mengesahkan bahawa kejohanan berprestij itu akan diteruskan mengikut jadual, berkata, Sabah tidak dapat pelepasan keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 9 November.

Malah, bagi aksi terakhir CIMB Liga Super antara Sabah dan UiTM FC yang tertunda sejak 11 Oktober sebelum dijadualkan semula ke 31 Oktober di Stadium Hang Jebat Melaka, UiTM FC diberikan kemenangan 3-0 selepas permohonan laluan khas skuad Sabah tidak dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Permohonan pengecualian bagi Sabah tidak diluluskan sehingga menyebabkan perlawanan Liga Super yang tertunda tidak dapat dimainkan. Tempoh kuarantin kendiri wajib selama 14 hari (sekiranya pasukan Sabah tiba di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) pada hari ini) melangkaui tarikh perlawanan pusingan pertama (kalah mati) Piala Malaysia.

Justeru, pasukan yang bakal diundi bertemu pasukan Sabah di pusingan pertama Piala Malaysia diberikan kemenangan 3-0 dan seterusnya layak ke suku akhir. Sabah kekal sebagai pasukan Liga Super untuk musim 2021 dan tiada hukuman bakal dikenakan terhadap Sabah kerana isu ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ab Ghani berkata, keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah ke-23 semalam, dengan undian Piala Malaysia akan diteruskan seperti dijadual pada Ahad ini.

Mengenai pasukan yang sedang di bawah PKPB seperti Selangor, Petaling Jaya (PJ) City FC, UiTM FC dan Kuala Lumpur, Ab Ghani berkata pihaknya akan membantu kelab-kelab berkenaan berkaitan proses untuk bermain di venue zon hijau.

"Sudah pasti kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa menjadi agenda utama buat MFL ketika dalam pandemik Covid-19 dan ia akan menjadi tanggungjawab bersama dalam menjayakan kejohanan ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Format Piala Malaysia musim ini terpaksa diubah kepada saingan kalah mati sejak pusingan pertama melibatkan 16 pasukan (11 Liga Super, lima Liga Premier ) sehingga ke pusingan suku akhir (12 dan 13 November), separuh akhir (17 November) tanpa aksi timbal balik sebelum aksi final pada 22 November.

Ahli Lembaga Pengarah MFL juga memutuskan format kenaikan dan penyingkiran Liga Super kekal seperti biasa, selepas tiada penyingkiran di Liga Premier susulan Liga M3 2020 dibatalkan.