Shaharuddin bersara selepas lebih 35 tahun berkhidmat

Shaharuddin (kiri) bertukar surat terima tugas dengan Azman (kanan)
Shaharuddin (kiri) bertukar surat terima tugas dengan Azman (kanan)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sambil berseloroh, Pengarah Pendidikan negeri, Shaharuddin Sharif memberitahu, beliau mahu RTM atau rehat tunggu mati sepanjang tempoh persaraan.

Shaharuddin, 60, yang berasal dari Kluang bersara wajib pada hari ini selepas lebih 35 tahun mencurahkan khidmat dan bakti dalam dunia pendidikan.

Bagaimanapun, beliau masih memikirkan sama ada mahu mengikuti program kesukarelawan kerana jiwa pendidikan sememangnya telah sebati dalam hidupnya.

"Mungkin apa yang tak sempat buat sebelum ini, saya akan lakukannya, maklumlah sudah berusia, perlu dekatkan diri dengan ketuhanan.

"Mungkin juga saya akan ceburkan diri dalam aktiviti kesukarelawan sebab jiwa pendidikan tetap bersama saya walaupun sudah bersara," katanya.

Shaharudin (kanan) mengetik sambil ditemani isterinya, Tursinah (kiri) dan diperhatikan Azman (tengah)
Shaharudin (kanan) mengetik sambil ditemani isterinya, Tursinah (kiri) dan diperhatikan Azman (tengah)

Beliau berkata demikian pada Majlis Mengetik Akhir di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut turut diadakan majlis serah surat terima tugas antara Shahruddin dengan Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Azman Adnan yang akan memangku jawatan Pengarah Pendidikan negeri.

Artikel Berkaitan:

Tepat jam 3.57 petang, Shaharuddin sambil ditemani isteri Tursinah Sanusi Maulana, 60, mengetik dan disambut dengan selawat nabi oleh 100 kakitangan JPN Johor.

Beliau bersama isteri menaiki kereta yang tertera 'Just Retired' sambil diiringi konvoi yang melibatkan 36 ahli Kelab Edu Bikers Johor.

Bapa kepada lima anak itu berkata, sepanjang memegang jawatan penting itu sejak 26 April 2016 lepas, banyak pengalaman dan cabaran beliau telah tempuhi.

Shaharuddin berpeluk dan bersalam dengan kakitangan JPN Johor
Shaharuddin berpeluk dan bersalam dengan kakitangan JPN Johor

"Antaranya termasuklah pembangunan pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21) yang kini telah menampakkan hasil yang membanggakan dan diharap sistem itu terus melahirkan pelajar yang kreatif, dedikasi dan sebagainya," katanya.

Beliau berharap pendidikan Johor terus maju dan banyak sekolah di negeri akan terus memberi contoh kepada negeri lain sekaligus berjaya menghasilkan pelajar yang memilki modal insan selaras yang dikehendaki oleh Kementerian Pendidikan.

Beliau juga mahu kesemua enam cucu dapat memperoleh pendidikan berkualiti menerusi PAK-21 selain berhasrat mengisi masa dengan isterinya yang turut bersara wajib sebagai Guru Kanan Bahasa di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kluang dengan bercuti ke luar negara termasuk Mesir.