Kilang sawit didenda RM20,000 lepas efluen lebih had

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini menjatuhkan hukuman denda RM20,000 ke atas sebuah kilang sawit di Hulu Terengganu atas kesalahan melepaskan efluen (air buangan proses) yang tidak mematuhi had pelepasan yang ditetapkan.

Pemilik kilang berkenaan juga berdepan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan denda itu.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas wakil pihak kilang berkenaan mengaku salah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melepaskan efluen ke dalam alur air melebihi had pelepasan yang telah ditetapkan bagi parameter kepekatan oksigen biokimia yang diperlukan (BOD3 pada 30 deg C) sebanyak 230mg/L iaitu melebihi had yang telah ditetapkan sebanyak 100 mg/L.

Dengan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16(2), akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sejurus pengakuan bersalah direkodkan mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM20,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu.

Artikel Berkaitan: