Koperal wanita tak mengaku terima rasuah

Tertuduh diiringi anggota SPRM ke Mahkamah Sesyen Butterworth pagi tadi.
Tertuduh diiringi anggota SPRM ke Mahkamah Sesyen Butterworth pagi tadi.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang anggota polis wanita berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM16,500 empat tahun lalu.

Tertuduh S Komaladevi, 46, yang bertugas sebagai anggota pengiring cawangan mahkamah membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul.

Mengikut pertuduhan pertama, Komaladevi dikatakan bersetuju menerima wang berjumlah RM10,500 daripada Chuah Kooi Eng di Kompleks Mahkamah Georgetown pada 24 Ogos 2016 yang kononnya akan diberikan kepada pegawai penyiasat.

Suapan itu sebagai dorongan untuk pegawai polis terbabit melepaskan tiga orang pekerja Kooi Eng yang dikatakan memiliki sijil perakuan kerja sementara yang tidak sah.

Mengikut pertuduhan kedua, wanita itu dikatakan menerima RM6,000 daripada individu sama pada 7 September 2016 di sebuah kedai roti bakar di Kompleks Times Square, Georgetown atas tujuan yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan, Komaladevi didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Selvaranjini dan Mohamad Azlan Basri manakala tertuduh diwakili peguam Ashok Atimulan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 3 Disember depan bagi serahan dokumen.