Masih ramai tak pakai pelitup muka di tempat awam

Gambar kecil: Mohd Marzukhi
Gambar kecil: Mohd Marzukhi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu mengeluarkan 463 kompaun atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam tempoh 55 hari bermula 1 September hingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, kompaun berkenaan dikeluarkan terhadap orang awam didapati ingkar SOP yang merupakan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2020.

"Tidak memakai pelitup muka di tempat awam dan tidak mengamalkan penjarakkan fizikal adalah antara kesalahan masih banyak dilakukan orang ramai walaupun ia menjadi antara SOP diwajibkan sepanjang tempoh PKPP.

"Kelmarin (24 Oktober) di daerah ini sahaja, tiga kompaun dikeluarkan terhadap dua lelaki dan seorang wanita termasuk seorang warga emas selepas didapati tidak memakai pelitup muka semasa berada di dalam sebuah premis di bandar raya ini kira-kira jam 9.20 malam.

"Mereka yang berusia antara 53 hingga 66 tahun itu dikenakan kompaun di bawah Peraturan 11 PPPPB 2020 sempena Ops Covid-19 yang dijalankan di sekitar bandaraya ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Mohd Marzukhi menegaskan, pemantauan serta pemeriksaan premis-premis seumpama itu akan dijalankan secara berterusan dan tindakan tegas perlu diambil bagi membendung penularan Covid-19.

Mengenai kompaun yang dikenakan bagi kesalahan melanggar SOP PKPP, beliau berkata, ia perlu dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah terdekat dalam tempoh 14 hari dengan kadar kompaun perlu dibayar RM 1,000.

"Pihak kami tidak akan teragak-agak mengenakan kompaun kepada mana-mana individu yang dilihat gagal mematuhi SOP, PKPP dan akan terus mempergiatkan lagi pemantauan serta pemeriksaan ke atas semua premis serta tempat awam yang menjadi tumpuan awam.

Artikel Berkaitan:

"Antara garis panduan yang perlu diikuti masyarakat awam ialah memakai pelitup muka di tempat awam, penjarakkan fizikal manakala premis perlu memastikan terdapat alat penyukat suhu badan, buku catatan maklumat pelanggan serta cecair sanitasi," katanya.