Tak kisah bau busuk!

Antara Pati yang ditahan Imigresen dalam operasi awal pagi tadi.
Antara Pati yang ditahan Imigresen dalam operasi awal pagi tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bau busuk bukan halangan buat pendatang asing tanpa izin (Pati) untuk menjadikan tempat pembuangan najis sebagai lokasi persembunyian mereka.

Itu yang dilakukan beberapa warga Bangladesh di kawasan penempatan haram di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur, bagi mengelakkan diri daripada dicekup.

Namun taktik yang digunakan itu nyata sudah basi apabila mereka ditahan dalam Ops Gegar dan Ops Sapu oleh Imigresen.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, lima lokasi yang diserbu dalam Ops Gegar dan Ops Sapu itu membabitkan tiga premis pusat kecantikan dan urutan sekitar Desa Sri Hartamas, manakala dua lagi membabitkan kawasan flat di Taman Damai Indah dan penempatan haram di Kampung Kerinci.

Menurutnya, seramai 182 orang diperiksa dan 117 Pati ditahan kerana pelbagai kesalahan.

"Mereka yang ditahan membabitkan 47 lelaki, 66 wanita dan empat kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga empat tahun. Kesemua mereka merupakan warganegara Thailand, Vietnam, Bangladesh, Indonesia dan Myanmar.

"Dalam operasi itu juga, Imigresen turut menahan dua lelaki tempatan atas kesalahan menggaji serta melindungi Pati," katanya kepada media.

Hamidi berkata, ketika operasi di penempatan haram Kampung Kerinchi, pasukannya berhadapan sedikit kesukaran apabila Pati berkenaan bertindak bersembunyi di bawah lantai, di siling dan di kawasan pembuangan najis manusia.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun tindakan mereka itu tidak berjaya mengaburi mata penguat kuasa yang sudah biasa dengan taktik sedemikian," katanya.

Menurutnya lagi, kes disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 15(1)(c), Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.