Pembukaan sempadan bergantung kepada SOP

Izhar beramah mesra dengan seorang peniaga selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Program 3P (Pemulihan, Pemerkasaan dan Peningkatan) Geran Food Truck Johor, Johor Bahru hari ini.
Izhar beramah mesra dengan seorang peniaga selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Program 3P (Pemulihan, Pemerkasaan dan Peningkatan) Geran Food Truck Johor, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor sedang berusaha meminta kerajaan Persekutuan membenarkan pintu sempadan Malaysia-Singapura dibuka segera.

Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Izhar Ahmad berkata, Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad sudah bertemu secara peribadi dengan Perdana Menteri dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara bagi tujuan itu.

"Semuanya bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP). Kita sudah buat pembentangan tentang SOP dan kaedah kita antara kerajaan dengan kerajaan Singapura bagi memastikan tiada kluster baharu wujud.

"Dengan kes yang mendadak setiap hari, kita kena seimbangkan antara ekonomi dan kesihatan awam. Tetapi bagi pemain industri ini, ekonomi adalah utama dan kesihatan adalah risiko. Apa juga keputusan kita perlu tunggu kerajaan Persekutuan yang memutuskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Program 3P (Pemulihan, Pemerkasaan dan Peningkatan) Geran Food Truck Johor di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan mencari jalan bagi membantu 150 peniaga di Terminal Bas Larkin Sentral di sini yang terjejas perniagaan berikutan pandemik koronavirus (Covid-19).

"Antara kaedah bantuan yang boleh dilakukan adalah dengan memberikan potongan sewa kepada peniaga tersebut sekali gus mewujudkan situasi menang-menang antara kedua-dua pihak," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga akan mengadakan mesyuarat untuk berbincang perkara berkenaan bersama-sama peniaga dan pihak pengurusan terminal bas tersebut esok.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beliau dimaklumkan peniaga di terminal bas berkenaan diberikan kelonggaran dan tidak perlu membuat sebarang pembayaran sewa semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Semasa PKP kita beri mereka percuma dan selepas PKP kita kenakan sewa berperingkat 30 hingga 50 peratus diskaun kepada mereka," katanya.

Tambahnya, pihak pengurusan terminal bas berkenaan perlu mengutip sewa untuk menampung kos mereka dan hanya pada Jun hingga September lalu mendapat bayaran sewa penuh namun kesannya pula terhadap peniaga.

Baru-baru ini peniaga berkenaan dilaporkan bakal gulung tikar selepas tidak mampu bayar sewa kerana kekurangan pelanggan sejak PKP selain faktor menutup sempadan kerana pekerja Malaysia di Singapura berulang-alik menggunakan perkhidmatan bas dan teksi di terminal bas itu.