UMNO Perak tak setuju darurat, gantung Parlimen

SAARANI MOHAMAD
SAARANI MOHAMAD
A
A
A

IPOH - UMNO Perak menyifatkan pengisytiharan darurat bukan jalan terbaik membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19) serta tidak membantu meringankan beban yang sedang dipikul oleh rakyat.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, darurat akan membawa kesan yang lebih negatif, mengancam kestabilan serta merosakkan ekonomi rakyat dan negara.

Menurutnya, langkah tersebut akan memberi kesan kepada keyakinan pelabur dan mengancam sistem ekonomi perniagaan yang kita nikmati selama ini.

"Harus diingat, pelaksanaan darurat mencetuskan 'force majeure' di mana segala kontrak tidak perlu dipenuhi. Darurat akan dilihat sebagai situasi tidak dijangka yang akan menyebabkan serta menghalang sesuatu pihak daripada melaksanakan tanggungjawabnya seperti yang termaktub dalam kontrak.

"Hakikatnya darurat akan menambahkan keresahan rakyat kerana ia memperlihatkan suasana buruk dan gelap," katanya kepada dalam kenyataan media malam tadi.

Dalam pada itu, Saarani berkata, tindakan menggantung Parlimen juga akan dilihat sebagai cubaan untuk mengkhianati mandat rakyat dan sistem demokrasi yang diamalkan sejak Pilihan Raya Umum yang pertama.

Menurutnya, keadaan ancaman Covid-19 tidak boleh disamakan dengan ancaman pengganas komunis pada tahun 1969 yang memaksa Kerajaan Perikatan ketika itu mengisytiharkan darurat.

"Pastinya jika ia dilaksanakan sekarang dengan menggunakan alasan pandemik ini, ia akan mewujudkan persepsi bahawa pemimpin kerajaan berlindung di sebalik Covid-19 untuk mengekalkan kuasa dengan usaha untuk menjadi diktator.

Artikel Berkaitan:

"Sebaliknya UMNO Perak berpandangan bagi usaha tegas untuk melindungi rakyat, kerajaan perlu memperkasakan lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk usaha untuk mengetatkannya di kawasan-kawasan yang mempunyai kadar jangkitan yang tinggi," katanya.

Sementara itu, Exco Kerajaan Perak itu turut menyarankan kerajaan meneruskan bantuan kebajikan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, bantuan itu termasuk pemberian moratorium, bantuan Prihatin serta lain-lain bantuan kewangan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Jelasnya, UMNO Perak memahami kesengsaraan, kepayahan dan kegetiran yang dihadapi oleh rakyat akibat pandemik Covid-19.