X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: JKNK saring pemandu bas, lori dari zon merah

JKNK akan menjalankan ujian saringan terhadap pemandu bas dan lori yang mempunyai sejarah perjalanan ke zon merah.
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan bekerjasama dengan syarikat pengangkutan bas dan lori di Kelantan, bagi menjalankan ujian saringan koronavirus (Covid-19) terhadap pemandu mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke zon merah.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, ini merupakan langkah pencegahan bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19 di negeri berkenaan.

Beliau berkata, langkah itu akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dengan kesemua pemandu akan disaring khususnya mereka yang memasuki negeri ini dari kawasan zon merah Covid-19 seperti di Selangor.

"Selain syarikat bas, JKNK juga mengatur pertemuan dengan syarikat pengangkutan seperti lori bagi tujuan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya lagi, kakitangan JKNK sendiri akan menjalankan ujian saringan terhadap pemandu bas dan lori terlibat di tempat syarikat mereka bekerja.

Mengenai perkembangan Covid-19 di Kelantan, Dr Zaini berkata, setakat ini, tujuh individu termasuk dua wanita dikesan positif Covid-19 dan kini sedang menjalani rawatan di dua hospital di negeri itu.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Kelantan adalah 178 kes sejak Mac lalu hingga semalam," tambahnya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!