Pemandu bas langgar peraturan tak dibenar memandu - JPJ

Pemandu bas yang ingkar peraturan jalan raya sehingga membahayakan keselamatan penumpang akan diambil tindakan tegas termasuk tidak dibenarkan lagi memandu.
Pemandu bas yang ingkar peraturan jalan raya sehingga membahayakan keselamatan penumpang akan diambil tindakan tegas termasuk tidak dibenarkan lagi memandu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemandu bas yang ingkar peraturan jalan raya sehingga membahayakan keselamatan penumpang akan diambil tindakan tegas termasuk tidak dibenarkan lagi memandu.

Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, pihaknya mengambil serius isu tersebut dan meletakkan sifar kemalangan pengangkutan awam sebagai fokus Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Op Bersepadu Hari Raya Aidilfitri 2023.

Katanya, setakat ini tiga kes melibatkan pemandu bas disyaki menggunakan bahan terlarang telah direkodkan, hasil pemeriksaan rambang dijalankan JPJ bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan sempena Hari Raya Aidilfitri.

"Kami telah mengambil tindakan supaya mereka ini tidak dibenarkan untuk memandu bas kerana ia boleh mendatangkan risiko kemalangan.

"Sekiranya berlaku kemalangan melibatkan bas-bas pengangkutan awam ini kesannya sangat tinggi. Satu bas membawa lebih kurang 40 nyawa (40 penumpang), ia menyebabkan satu kehilangan yang amat besar,” katanya semasa menjadi tetamu sebuah program televisyen hari ini.

Dalam usaha mengurangkan kes kemalangan sempena sambutan Aidilfitri kali ini, Lokman berkata pihaknya juga akan menempatkan pegawai dan anggota di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti. - Bernama