ZPP peruntuk RM3.015 juta untuk guru KAFA di Pulau Pinang

Ahmad Zakiyuddin (dua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada wakil guru KAFA Pulau Pinang dalam Majlis Hi-Tea bersama Guru Besar KAFA di Butterworth semalam.
Ahmad Zakiyuddin (dua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada wakil guru KAFA Pulau Pinang dalam Majlis Hi-Tea bersama Guru Besar KAFA di Butterworth semalam.
A
A
A

BUTTERWORTH - Zakat Pulau Pinang (ZPP) memperuntukkan sebanyak RM3.015 juta kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri itu bagi tahun 2020.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, sumbangan berkenaan digunakan sebagai elaun tambahan untuk semua guru KAFA di 288 sekolah di negeri itu.

Menurutnya, kerajaan negeri mengambil berat dan prihatin terhadap institusi pendidikan agama khususnya sekolah agama rakyat.

“Dalam Belanjawan 2021 Pulau Pinang, kerajaan negeri komited terhadap usaha memartabatkan agama Islam di Pulau Pinang dengan meningkatkan jumlah peruntukan kepada RM64.16 juta pada tahun 2021 bagi tujuan pembangunan, baik pulih, penyelenggaraan serta kelengkapan institusi keagamaan di negeri ini.

“Selain itu, peruntukan RM3.015 juta disediakan oleh ZPP melalui dana bantuan agihan fi sabilillah,” katanya ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Guru KAFA Pulau Pinang di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali.

Mengulas mengenai majlis yang diadakan, Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 berkata, Majlis Hi-Tea Guru KAFA Negeri Pulau Pinang merupakan sebahagian aktiviti yang dijalankan dalam Program Bulan-bulan Zakat Negeri Pulau Pinang tahun 2020.

Katanya, ia merupakan kaedah penyampaian dakwah ZPP kepada masyarakat Muslim di Pulau Pinang bagi melaksanakan kefarduan zakat sebagaimana yang dituntut di dalam al-Quran.

Artikel Berkaitan:

“Matlamat utama penganjuran Program Bulan-bulan Zakat Negeri Pulau Pinang tahun 2020 ini untuk menyemarakkan kesedaran berzakat kepada semua umat Islam dan seterusnya memberi manfaat dan impak yang besar kepada pembayar dan penerima zakat khususnya di Pulau Pinang.

“Kempen kewajipan membayar zakat khusus kepada golongan yang bekerjaya dan mendapat pendapatan tetap seperti guru-guru KAFA dan sebagainya diperhebat demi membantu asnaf yang memerlukan lebih-lebih lagi pada waktu krisis pandemik Covid-19 ini," kata beliau lagi.

Beliau berharap agar semua guru KAFA dapat membantu dan menyokong kempen ZPP dengan menghebah dan mempromosikan kewajipan zakat kepada masyarakat Islam khususnya ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke KAFA di negeri itu.