X

Kindly register in order to view this article
!

Masjid, surau di Pulau Pinang disaran ringkaskan aktiviti keagamaan

Aktiviti keagamaan di masjid dan surau di Pulau Pinang disaran diringkaskan bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19) dalam kalangan jemaah dan ahli kariah. Gambar hiasan
A
A

BUTTERWORTH - Aktiviti keagamaan di masjid dan surau di Pulau Pinang disaran diringkaskan bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19) dalam kalangan jemaah dan ahli kariah, kata Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti berkata, kerajaan negeri kini sedang meneliti prosedur operasi standard (SOP) berhubung kehadiran jemaah ke masjid dan surau.

"Kerajaan negeri sedang memikirkan untuk meningkatkan SOP sedia ada malah kebenaran untuk hadir ke masjid mungkin kita akan pendekkan waktu berjemaah iaitu dengan memendekkan atau meringkaskan (sebarang bentuk aktiviti)," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis minum petang bersama guru dan penyelia Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada keperluan untuk menutup masjid dan surau di negeri itu kecuali di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Terdahulu, Ahmad Zakiyuddin mengumumkan Zakat Pulau Pinang (ZPP) telah mengagihkan sebanyak RM3.015 juta elaun tambahan kepada guru yang terlibat dalam program KAFA di negeri itu.

“Peruntukan yang disediakan ZPP adalah melalui dana bantuan agihan fi sabilillah,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!