Terengganu pelihara lebih banyak hutan

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri mengumumkan penambahan hutan seluas 19,614 hektar untuk diwartakan sebagai Taman Negeri Kenyir pada 22 November lalu.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan itu menjadikan keluasan Taman Negeri Kenyir bertambah dua kali ganda berbanding 10,386 hektar yang diwartakan pada Mei 2018 sebagai Taman Negeri Lawit Cenana.

Berikutan itu menurutnya, Taman Negeri Kenyir yang terletak di sekitar kawasan tadahan air Kenyir kini berkeluasan 30,000 hektar sekaligus meluaskan jaringan kawasan darat terlindung di Terengganu.

“Penambahan kawasan hutan kepada Taman Negeri Kenyir ini meliputi sebahagian kawasan Hutan Simpan Tembat di mana terletaknya Rangkaian Utama 7 (Primary Linkage 7– PL7) daripada Central Forest Spine (CFS).

“Rangkaian Utama 7 (PL7) ialah nama rasmi bagi Koridor Hidupan Liar Kenyir (Kenyir Wildlife Corridor). Terdapat 17 Rangkaian Utama sepanjang CFS di Semenanjung Malaysia.

“PL7 menjadi sambungan untuk landskap hutan bersebelahan Taman Negara. Langkah ini menjadikan Terengganu sebagai negeri pertama di Malaysia yang mewartakan Rangkaian Utama sebagai kawasan perlindungan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Ahmad Samsuri berkata, langkah kerajaan negeri melindungi lebih banyak hutan akan membantu menurunkan pengeluaran karbon selaras dengan perjanjian Paris (Paris Agreement) dan Terengganu bersemangat untuk mengambil langkah-langkah melawan perubahan iklim.

Ini kerana kawasan hutan merupakan ekosistem yang memberi faedah kepada rakyat Terengganu seperti bekalan air bersih, kawalan hakisan, air bersih tanpa sedimen untuk menjana hidroelektrik dan kelangsungan sumber ikan serta mengurangkan kesan buruk kepada banjir.

Artikel Berkaitan:

“Fasa seterusnya dalam pengurusan Taman Negeri Kenyir ini melibatkan pembangunan skim bio-kewangan (bio-financing) untuk menjana pendapatan daripada penjagaan hutan yang sihat secara lestari.

“Pendapatan juga akan diuruskan melalui Tabung Amanah Taman Negeri bagi memastikan sumber jangka panjang untuk kerja-kerja penguatkuasaan, eko-pelancongan, dan aktiviti penduduk komuniti di sekitar taman tersebut.

“Pemeliharaan alam sekitar adalah penting untuk melawan perubahan iklim. Pada masa yang sama, ini akan menjadikan Terengganu sebagai destinasi eko-pelancongan yang unggul,” katanya.

Taman Negeri Kenyir yang mempunyai spesis tumbuhan ikonik seperti Rafflesia, sekurang-kurangnya 43 spesis mamalia, dan sekitar 290 spesis burung termasuklah 9 spesis burung enggang, menjanjikan tarikan utama kepada para pelancong yang meminati alam sekitar dan aktiviti luar.

Selain menggamit kehadiran pelancong, keunikan ini juga akan menarik perhatian penyelidik yang ingin melakukan kajian saintifik.