Kontak rapat murid SK Seri Sentosa jalani saringan Covid-19

Pengawal keselamatan menutup pintu pagar Sekolah Kebangsaan Seri Sentosa selepas salah seorang murid disahkan positif wabak Covid-19.
Pengawal keselamatan menutup pintu pagar Sekolah Kebangsaan Seri Sentosa selepas salah seorang murid disahkan positif wabak Covid-19.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Kontak rapat kepada seorang murid Pendidikan Khas, Sekolah Kebangsaan Seri Sentosa di sini yang disahkan positif wabak koronavirus (Covid-19) telah dikesan dan diarahkan menjalani ujian saringan.

Mereka terdiri daripada rakan sekelas dan guru yang mengajar murid terbabit di sekolah tersebut.

Difahamkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah mengambil langkah segera dengan mengesan mereka yang mempunyai kontak rapat dengan murid berkenaan untuk tindakan lanjut pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarah Pendidikan Negeri, Abdul Rashid Abdul Samad ketika dihubungi berkata, pihaknya masih belum mengetahui bagaimana murid tersebut mendapat jangkitan berkenaan tetapi kontak rapat telah dikenalpasti.

"Kami menyerahkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan seterusnya dan setakat ini keadaan dilaporkan terkawal." katanya.

Difahamkan, jumlah keseluruhan murid di sekolah berkenaan adalah sebanyak 498 manakala guru pula seramai 57 orang.

Bagaimanapun setakat ini Abdul Rashid berkata, pihaknya tidak dapat memastikan jumlah sebenar murid dan guru yang menjalani ujian saringan itu.

Semalam, Sinar Harian melaporkan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa di Jalan Victoria di sini akan ditutup selama seminggu bermula hari ini susulan terdapat laporan kes positif wabak koronavirus (Covid-19) di sekolah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, pihaknya sudah mengeluarkan arahan tersebut untuk kerja pembersihan dan sanitasi.

Menurutnya, sekolah tersebut akan ditutup sehingga 26 Oktober ini.

Mengulas lanjut Abdul Rashid menasihatkan murid, guru dan ibu bapa supaya terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Sementara itu, tinjauan di sekolah itu mendapati keadaan di sekitar sekolah lengang dan sunyi selepas penutupan sebuah sekolah bermula semalam.