Hanya KKM boleh tentukan jumlah hari kuarantin wajib

Ismail Sabri pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu berkaitan pengurangan tempoh kuarantin wajib 14 hari bagi rakyat Malaysia yang masuk dari Singapura hanya boleh ditentukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengambil maklum beberapa cadangan pengurangan tempoh kuarantin, beliau berkata, isu tersebut akan dirujuk kepada KKM untuk membuat pertimbangan mengenai jumlah hari kuarantin wajib bagi rakyat Malaysia dari Singapura.

“Keputusan kuarantin 10 hari atau tujuh hari hanya boleh dibuat oleh KKM. Jika saya umumkan perkara kesihatan ia berdasarkan keputusan KKM,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata, rakyat Singapura yang mempunyai keluarga warganegara Malaysia dibenarkan kembali ke tanah air namun perlu memohon MyTravelPass di laman sesawang rasmi Jabatan Imigresen Malaysia www.imi.gov.my.

Katanya,Singapura tidak termasuk dalam sekatan 23 negara yang disenaraikan dalam kes koronavirus (Covid-19) tertinggi.

Selain itu, berkenaan rakyat negara ini di Singapura yang berdepan kekangan kewangan untuk menjalani ujian swab dan kuarantin wajib, beliau berkata, mereka yang terkesan boleh memohon pengecualian bayaran dengan KKM.

“Jika terdapat yang tidak mampu membayar kos kuarantin, mereka boleh membuat permohonan. Kita sudah tetapkan mereka yang dalam golongan B40 serta orang kelainan upaya (OKU) boleh mohon pengecualian bayaran dengan KKM,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri menafikan dakwaan bahawa Melaka telah diisytiharkan dan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti mana mesej yang tular melalui aplikasi WhatsApp sejak semalam.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak pernah mengumumkan perkara itu dan mengesahkan berita itu adalah palsu.

"Saya melakukan sidang media setiap hari dan kalau siapa yang tengok (sidang media), saya tidak pernah pun sebut Melaka akan diisytiharkan dan diletakkan di bawah PKPB.

Malah kalau kita lihat di Melaka masih lagi zon kuning iaitu hanya berbelas kes dan untuk mencapai zon merah perlu lebih 40 kes," katanya.

Beliau berkata, setakat ini hanya ada dua orang jurucakap yang mewakili kerajaan dalam memberikan perkembangan terbaru berhubung perkembangan Covid-19 setiap hari iaitu beliau sendiri dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, beliau akan memperincikan isu yang bukan berkaitan kesihatan seperti Op Benteng dan operasi pematuhan, manakala Dr Noor Hisham akan memberikan maklumat berhubung kes membabitkan kesihatan termasuk jumlah kes Covid-19 dan hal kuarantin.

"Kalau saya tidak isytihar dan Kementerian Kesihatan pun tidak isytiharkan itu bermakna ia berita palsu atau fake news, jadi jangan percaya, dan jangan sebar mesej ini," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, dalam tempoh PKPB, hanya restoran yang mempunyai lesen restoran iaitu khusus kepada menjual makanan sahaja dibenarkan beroperasi manakala pub dan bar masih tidak dibenarkan.

Katanya, pub dan bar ini lebih kepada menyediakan minuman keras kepada pelanggan dan ia dikategorikan sebagai aktiviti yang dilarang sepanjang PKPB ini.

"Sejak PKPP lagi pub dan bar tidak dibenarkan beroperasi dan ia berterusan sehingga sekarang. Pihak Berkuasa Tempatan telah diarahkan untuk mengambil tindakan terhadap pengusaha pub dan pusat hiburan jika terus berdegil meneruskan operasi mereka.

"Mereka (pengusaha pub dan kelab malam) turut berdepan ditarik lesen jika terus berdegil," katanya. - Bernama